Remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi sungai bersama rakan

21 May 2026 • 9:41 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi sungai bersama rakan

SHAH ALAM, 21 MEI: Remaja lelaki ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Langat, Kampung Rantau Panjang, Batu 14, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang membabitkan pelajar sekolah yang mandi bersama rakannya di sungai berkenaan.

“Mangsa dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Langat bersama seorang rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata mayat mangsa berusia 14 tahun ditemui kira-kira jam 4 petang, iaitu sekitar dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hanyut.

Katanya, mayat pelajar itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Mayat pelajar yang berusia 14 tahun itu ditemui pada 4 petang kira-kira dua kilometer dari lokasi hanyut dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk proses bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian,” katanya.

Naazron berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).