KAJANG – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang berhampiran pintu pagar sebuah kolej di Bangi di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.23 petang
"Seramai empat pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh 13 kilometer.
"Berdasarkan maklumat awal daripada rakan mangsa, remaja lelaki itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ashrul Riezal berkata, mangsa berjaya ditemukan pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh iaitu di kawasan tadahan air.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, pihak bomba telah menyerahkan kes kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.






