
STOCKHOLM: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut dalam insiden serangan pedang di sebuah sekolah menengah di tengah Sweden, menurut polis.
Dua remaja lelaki masing-masing berusia 12 dan 17 tahun turut cedera parah dalam serangan di Sekolah Brinell di Fagersta pada petang Jumaat, menurut pihak berkuasa tempatan. Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan ringan.
Seorang lelaki berusia 18 tahun yang identitinya tidak didedahkan telah ditahan. Polis berkata, kes itu disiasat sebagai pembunuhan dan cubaan membunuh.
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson dan pemimpin pembangkang, Magdalena Andersson mengunjungi sekolah berkenaan pada pagi Sabtu, ketika orang ramai meletakkan jambangan bunga sebagai penghormatan kepada mangsa.
Pelajar sekolah itu baru sahaja kembali ke kelas selepas cuti musim panas apabila serangan maut berkenaan berlaku pada petang Jumaat.
Polis kemudian mengesahkan mereka melepaskan tembakan selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu, namun tidak menyatakan sama ada suspek terkena tembakan sebelum ditahan.
Penyiar awam Sweden melaporkan suspek memakai topi keledar, manakala media tempatan menyatakan dia merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.
Wilayah itu diisytiharkan dalam keadaan darurat pada Jumaat, namun status tersebut ditamatkan pada Sabtu. Sekolah berkenaan mempunyai hampir 500 pelajar dan terletak kira-kira 170 kilometer di barat laut Stockholm.
Penyiasat sudah menjalankan dua pemeriksaan di rumah yang dikaitkan dengan suspek, menurut polis.
Kristersson menyifatkan serangan itu sebagai insiden serius dan berkata, pihak berkuasa masih belum mengetahui motif di sebalik kejadian, namun polis sedang menjalankan siasatan secara intensif.
Raja Sweden, Carl XVI Gustaf turut menzahirkan rasa terkejut dan dukacita dengan tragedi itu.-AGENSI
The post Remaja maut, dua parah insiden serangan pedang di sekolah appeared first on Utusan Malaysia.





