
LONDON: Tujuh orang termasuk dua anggota polis maut dalam kemalangan di timur laut England selepas sebuah kereta yang dipandu melawan arus merempuh kereta polis bersenjata yang sedang menjalankan tugas, menurut polis tempatan.
Polis Cleveland berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.39 pagi (waktu tempatan) berhampiran kawasan South Bank, di timur Middlesbrough dan semua penumpang dalam kedua-dua kenderaan maut di tempat kejadian.
“Ini hari yang amat menyedihkan buat Cleveland,” kata Ketua Konstabel Polis Cleveland, Victoria Fuller.
Pasukan polis berkata, mereka sudah mengenal pasti secara rasmi penumpang dalam sebuah lagi kenderaan, Volkswagen Passat dan menghubungi keluarga mereka.
Dua anggota polis yang maut, Konstabel Matthew Blades, 37, dan Tom Clough, 38, disifatkan sebagai ‘anggota berani’ yang tidak sempat pulang kepada keluarga mereka selepas tamat syif.
Perdana Menteri, Andy Burnham turut mengeluarkan kenyataan ringkas bagi menzahirkan kesedihannya berhubung kejadian itu.
Menurut Reuters, kejadian itu berlaku selepas dua kemalangan bertembung secara berdepan baru-baru ini berhampiran Dublin, Ireland, termasuk satu kemalangan yang mengorbankan lima orang.
Ketua polis Ireland minggu ini memberi amaran terdapat segelintir golongan muda memandu melawan arus di lebuh raya untuk mendapatkan tanda suka di media sosial.
Sebuah jawatankuasa Parlimen Ireland turut meminta platform video pendek TikTok menjelaskan langkahnya membuang kandungan yang dilihat mengagungkan tingkah laku berbahaya dan menyalahi undang-undang di jalan raya.
Pada Selasa, pengawal selia media Ireland turut mengemukakan permintaan sama kepada TikTok.
The post Tujuh maut kenderaan pandu arah bertentangan rempuh kereta polis appeared first on Utusan Malaysia.






