
KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Besut, Terengganu.
Lebih menyayat hati, nahas terbabit berlaku akibat 4WD berkenaan dipandu seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Azmil Hakimi Abdullah, 16, dari Kampung Bukit Payong, Jerteh, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dalam nahas di Jalan Bukit Payong itu, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu 4WD terbabit didapati positif ketamin menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan selepas kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Md Sani Md Saleh berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan dua kenderaan itu daripada orang awam, sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati kereta mangsa sedang bergerak di laluannya sebelum dia menyedari sebuah 4WD dari arah bertentangan dipandu dalam keadaan tidak stabil dan apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu secara tiba-tiba memasuki laluan mangsa.
“Mangsa cuba mengelak pelanggaran dengan memasuki laluan bertentangan, namun pada masa sama 4WD terlibat kembali ke laluan asalnya sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya.
Akibat pelanggaran, remaja berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
Polis mengesahkan pemandu 4WD tersebut telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut untuk tindakan lanjut.
“Pemandu 4WD terlibat disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, kes kemalangan maut itu turut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Pihak berkuasa turut meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239.
Polis turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan awam. - Getaran, 29 Mei 2026





