Remaja mengaku salah rogol, 'sentuh' gadis 14 tahun

19 Nov 2026 • 1:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja mengaku salah rogol, 'sentuh' gadis 14 tahun
Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Krai pada Khamis terhadap tiga pertuduhan iaitu merogol dan melakukan kontak fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Batu Mengkebang pada 2 dan 10 November lalu.

KUALA KRAI - Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis terhadap tiga pertuduhan iaitu merogol dan melakukan kontak fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Batu Mengkebang di sini pada 2 dan 10 November lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 20 Januari depan sebagai tarikh fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah bilik dalam rumah jam 12.30 dan 3.30 pagi pada 2 dan 10 November lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kontak fizikal tanpa persetubuhan membabitkan mangsa dan lokasi yang sama jam 3.30 pagi pada 10 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh di hukum di bawah Seksyen 14 yang sama memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khusyairi Fauzi dan tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi.

Terdahulu, Khusyairi mencadangkan jaminan RM8,000 serta memohon satu tarikh bagi penyediaan laporan kimia serta fakta kes dan hukuman.

Manakala Farazalila memohon jaminan minima ditawarkan memandangkan anak guamnya baru berusia 17 tahun.

"Tertuduh tidak bersekolah, bekerja dengan membantu ibu sebagai penoreh getah dengan pendapatan bersama ibu RM100 seminggu," katanya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 20 Januari sebagai tarikh penyediaan dokumen laporan kimia dan fakta kes.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved