
AMPANG JAYA – Polis menahan seramai 17 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan insiden pergaduhan di Flat Lembah Jaya, Jalan 3, Lembah Jaya Utara di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.07 pagi.
Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kemudian diarahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Pemeriksaan mendapati tiada pergaduhan sedang berlaku ketika anggota tiba di lokasi, namun terdapat sekumpulan orang awam berkumpul di kawasan berkenaan. Seramai 17 individu direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca orang ramai berkumpul di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Khairul Anuar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post 17 individu ditahan di Flat Lembah Jaya appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Kecoh di Threads aksi ‘Polis Evo’ di MEX](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-31-at-8.31.20-PM-1024x607.jpeg)


