Rempuh suami isteri hingga maut: Penuntut kolej gagal batal pertuduhan bunuh

30 Sep 2026 • 1:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rempuh suami isteri hingga maut: Penuntut kolej gagal batal pertuduhan bunuh
Danish Raman pada 15 Mei lalu didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam insiden rempuhan di Jalan Ampang, berdekatan Great Eastern Mall. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut kolej pada Rabu gagal dalam permohonannya untuk membatalkan pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam insiden rempuhan di Jalan Ampang, berdekatan Great Eastern Mall di sini, empat bulan lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Danish Raman Kamar Kumaresan selaku pemohon, yang difailkan pada 5 Ogos lepas.

"Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan. Oleh itu, permohonan tertuduh untuk membatalkan pertuduhan membunuh ditolak," kata hakim itu.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan peguam, Donald Selvam yang mewakili Danish Raman.

Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal itu atas alasan permohonan oleh pemohon untuk membatalkan pertuduhan tersebut tidak teratur serta tidak mengikut peruntukan di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Danish Raman, 24, memohon untuk membatalkan pertuduhan itu atas alasan keputusan pendakwa raya mendakwanya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes kemalangan jalan raya, adalah bersifat ‘mala fide’ iaitu berniat jahat selain tidak munasabah serta melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 15 Mei lepas, Danish Raman didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh warga emas, A Doraisingam, 61, dan isterinya, A Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke arah Ampang Point pada 5.30 pagi 2 Mei.

Pasangan itu maut akibat kecederaan parah di kepala, selepas motosikal Honda Wave Alpha dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved