
KOTA BHARU – Pasangan suami isteri mengalirkan air mata selepas mereka dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 81.7 gram, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Mokhtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan isterinya, Nurul Syahira Zakaria, 30, di akhir kes pendakwaan.
Azhar dalam alasan penghakimannya berkata, akses terhadap rumah kedua-dua tertuduh boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja melalui pintu dan lubang-lubang pada bahagian atas selain dapur kediaman tersebut.
“Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada jaket dan bungkusan dadah yang ditemukan di dalam raga motosikal jenis Honda C70 di dapur rumah tersebut mendapati ia negatif daripada dikaitkan dengan kedua-dua tertuduh.
“Selain itu, tiga pekerja premis membasuh kenderaan berhampiran juga didapati ada menggunakan tandas rumah kedua-dua tertuduh. Mereka sebelum ini sudah ditangkap, namun dilepaskan dengan jaminan polis,” ujarnya.
Azhar berkata, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tiada sebarang maklumat yang dapat mengaitkan tertuduh kedua iaitu Nurul Syahira dengan dadah yang dijumpai.
Menurutnya, sehubungan itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri daripada pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang juga peniaga kedai makan itu didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 81.77 gram methamphetamine di sebuah rumah di Batu 19, Kampung Badak dekat Bachok kira-kira pukul 11 pagi pada 20 Mac 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Sekyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan dan Syed Mohamad Haizat diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad manakala peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin bersama Mohd. Zubairi Salleh mewakili Nurul Syahira. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri menangis gembira lepas, bebas tuduhan edar syabu appeared first on Kosmo Online.






