reNIKOLA meterai Perjanjian Pembelian Tenaga 30 tahun untuk projek solar RM1 bilion di Gedong, Sarawak

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 2:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

reNIKOLA meterai Perjanjian Pembelian Tenaga 30 tahun untuk projek solar RM1 bilion di Gedong, Sarawak Image from: reNIKOLA meterai Perjanjian Pembelian Tenaga 30 tahun untuk projek solar RM1 bilion di Gedong, Sarawak hamden17/09/2026 - 14:29 Gambar/TVS Oleh Hamden Ramli editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept - reNIKOLA Gedong Solar (Sarawak) Sdn Bhd, anak syarikat reNIKOLA Holdings Sdn Bhd, memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun dengan Syarikat Sesco Berhad bagi membangunkan kemudahan penjanaan tenaga solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 250MWac di Sarawak.

 

Syarikat Sesco merupakan anak syarikat milik penuh Sarawak Energy Berhad.

 

Projek dengan jumlah pelaburan kira-kira RM1 bilion itu akan mempunyai kapasiti terpasang sehingga 363MWp dan terletak di Gedong, Daerah Simunjan, Samarahan, Sarawak.

 

Projek berkenaan merupakan pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan tenaga boleh baharu reNIKOLA, selain menandakan langkah strategik syarikat itu dalam landskap tenaga boleh baharu Sarawak yang berkembang pesat.

 

Dengan PPA jangka panjang berkenaan, projek itu dijangka menjadi komponen utama portfolio tenaga boleh baharu reNIKOLA yang semakin berkembang serta menyumbang kepada pembangunan tenaga bersih Sarawak.

 

Gedong
 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili (dua kiri) dan Boumhidi Adel pada majlis memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) di Kuching Sarawak. 

 

Pengerusi Eksekutif Punggor Wibawa Berhad dan Gedong Solar Park Industry Sdn Bhd, Datuk Posa Majais berkata projek itu bukan sekadar pelaburan besar, malah berpotensi mewujudkan nilai berkekalan kepada Sarawak dan komuniti tempatan.

 

Katanya, pembangunan dan operasi kemudahan itu dijangka menjana aktiviti ekonomi menerusi peluang pekerjaan, perolehan tempatan serta pembangunan keupayaan tempatan sepanjang kitaran hayat projek.

 

“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan bagi memastikan projek ini memberikan manfaat yang bermakna dan mampan kepada komuniti tempatan.

 

“Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu Sarawak serta menyokong aspirasi jangka panjang negeri untuk mewujudkan masa depan tenaga yang lebih bersih, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan reNIKOLA, Boumhidi Adel berkata pihaknya amat menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada syarikat menerusi kerjasama tersebut.

 

“Kami benar-benar berbesar hati kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada projek ini dan perjalanan tenaga boleh baharu Sarawak.

 

“Kami amat menghargai peluang untuk menyumbang kepada aspirasi tenaga mampan Sarawak dan menantikan projek ini memberikan manfaat yang bermakna serta berkekalan kepada negeri dan rakyatnya,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved