
KUALA NERUS: Jarak kira-kira 30 kilometer merentasi lautan bukan penghalang buat peminat tegar motosikal Yamaha RXZ dari Pulau Redang untuk memeriahkan Program RXZ Members 8.0 di Gong Badak.
Demi menyertai program dua hari yang menghimpunkan ribuan peminat motosikal legenda itu, mereka sanggup membawa jentera masing-masing menaiki bot dari pulau berkenaan ke Jeti Merang.
Bagi Mohd. Irwan Rosman, 24, dia bukan sahaja peminat RXZ, malah menguruskan perkhidmatan mengangkut motosikal berkenaan dari Pulau Redang ke Jeti Merang sejak empat tahun lalu.
Katanya, sambutan dalam kalangan peminat RXZ di Pulau Redang sangat menggalakkan dan mereka menjadikan penyertaan dalam RXZ Members di Gong Badak sebagai acara wajib setiap tahun.
“Di Pulau Redang ada kira-kira 10 buah motosikal Yamaha RXZ dan setiap tahun kami wajib menyertai RXZ Members di Gong Badak. RXZ ini hanya keluar rumah setahun sekali iaitu untuk ke program RXZ Members. Jika tidak, motosikal ini disimpan di dalam bilik.
“Untuk membawa sebuah motosikal dari Pulau Redang ke Jeti Merang, bayaran RM150 dikenakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang lagi peminat tegar, Ahmad Haiqal Lokman, 27, berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang menyertai program RXZ Members setiap tahun meskipun perlu mengeluarkan kos tambahan untuk membawa motosikalnya dari pulau berkenaan.
Menurutnya, bayaran RM150 bagi mengangkut motosikal menggunakan bot berbaloi kerana RXZ bukan sekadar motosikal, sebaliknya sudah menjadi hobi yang dikongsi bersama peminat lain.
“Bagi kami peminat motosikal RXZ, dapat berkumpul dan bertemu rakan-rakan yang mempunyai minat sama adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu setiap tahun.
“Jadi kami yang tinggal di pulau pun tidak mahu ketinggalan turut serta,” katanya.
Program RXZ Member 8.0 menyasarkan kehadiran lebih 100,000 peserta sempena program dua hari itu dengan slogan Yang Santai Pasti Sampai.-UTUSAN
The post Rentasi lautan Pulau Redang demi RXZ appeared first on Utusan Malaysia.





![[VIDEO] Terengganu sambut peserta RXZ Members 8.0, hulur hadiah dari atas jejambat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-31-at-6.57.50-PM-1024x682.jpeg)
