Representasi ditolak, bicara kes Arun Dorasamy bermula Februari depan

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Representasi ditolak, bicara kes Arun Dorasamy bermula Februari depan
aktivis Arun Dorasamy atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy

NIBONG TEBAL - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan aktivis Arun Dorasamy atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy berhubung pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam menerusi media sosial, tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin memaklumkan perkara itu kepada Majistret Balqis Roslin pada prosiding di Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini.

Susulan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 1 Februari 2027 dengan pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil tujuh saksi untuk memberikan keterangan.

Arumugam diwakili peguam T. Gunaseelan.

Pada 17 Mac, Arumugam, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran di akaun Instagram miliknya yang dilihat dan didengar seorang individu yang boleh mendorong mana-mana orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan dalam daerah Seberang Perai Selatan pada 3.45 petang 12 Mac 2025.

Hantaran itu didakwa mengajak Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung isu video kontroversi membabitkan tiga penyampai radio tempatan yang didakwa mempersendakan satu perayaan agama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved