amree14/09/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept — Syarikat berpangkalan di Singapura, Arina International Holding Pte Ltd, melabur RM10 juta bagi mengubah landskap kegiatan sukan dan rekreasi di Desaru Coast, Johor.
Langkah itu menerusi pembangunan litar go-kart baharu secara bersepadu yang akan dibuka akhir tahun ini di Riverside sebagai tarikan The Sports Arina, untuk pengunjung dewasa dan kanak-kanak.
Kemudahan itu menampilkan litar go-kart kompetitif dilengkapi kart profesional dan sistem pemasaan, selain KF KIDDY CIRCUIT berhawa dingin direka untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.
"Pembangunan ini merangkumi tempat duduk penonton, ruang makan dan kedai cenderamata, bagi aktiviti rekreasi, korporat, serta pemotoran," kata kenyataan Desaru Development Holdings One Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izrin Hashim berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Desaru Coast dan menyokong usaha menjadikannya destinasi yang lebih luas.
Ujarnya, The Sports Arina melengkapkan ekosistem sedia ada Desaru Coast meliputi resort, padang golf, taman air dan tarikan pantai, selain kedudukannya sebagai destinasi sukan dan rekreasi aktif.
Arina International turut membuka tiga gelanggang pickleball di Riverside pada Julai 2026, manakala tiga lagi gelanggang dirancang untuk fasa seterusnya dengan kemudahan bagi pilihan aktiviti sukan.

Pengerusinya, Richard Tan berkata, Desaru Coast dipilih kerana akses baik dan prasarana pelancongan bertaraf antarabangsa, selain berpotensi menarik peminat go-kart dari Malaysia dan Singapura.
"Pengalaman mengendalikan litar KF1 Kranji sepanjang 960 meter di Singapura akan dimanfaatkan bagi membangunkan kemudahan profesional di sini termasuk peralatan dan sistem pemasaan sesuai," katanya.
Arina International juga mengendalikan jenama KF1 Karting dan mempunyai lima lokasi go-kart kanak-kanak di Johor dan Kuala Lumpur, di samping menguruskan beberapa kemudahan sukan di Singapura.
Kumpulan berkenaan turut menyokong Grand Prix Formula 1 Singapura melalui penyediaan infrastruktur sementara termasuk kemudahan hospitaliti, pencahayaan litar dan ruang sokongan acara perlumbaan.
Kawasan berkenaan strategik dan rerletak di sepanjang 17 kilometer garis pantai di tenggara Johor, Desaru Coast meliputi kira-kira 1,618 hektar serta menempatkan empat jenama resort antarabangsa,
Destinasi itu turut boleh diakses dari Singapura melalui jalan darat dan feri, manakala dari Kuala Lumpur melalui jalan darat atau penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. - DagangNews.com





