Jati Tinggi raih kontrak RM46.7 juta bagi kerja kabel bawah tanah di Zon Utara dan Selatan

27/08/2025 - 09:16
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Jati Tinggi Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM46.7 juta melibatkan kerja pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel bawah tanah 11 kilovolt (kV) di Zon Selatan dan Zon Utara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Jati Tinggi berkata, ia telah menerima surat anugerah daripada YM Teras Sdn Bhd selaku kontraktor utama bagi melaksanakan kerja-kerja subkontrak melibatkan projek tersebut.
“Projek ini dijangka siap dalam tempoh 600 hari atau kira-kira setahun enam bulan bermula daripada tarikh notis dikeluarkan untuk memulakan kerja.
“Pelaksanaan projek ini diyakini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan, keuntungan sesaham (EPS) serta aset bersih sesaham JTGB sepanjang tempoh kontrak,” katanya.
Pada Julai lalu, Jati Tinggi meraih kerja subkontrak bernilai RM31.58 juta daripada Pintar Gembira Sdn Bhd (PGSB) bagi pemasangan kabel bawah tanah di Selangor.
Skop kerja projek tersebut termasuk pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel bawah tanah 11 kilovolt beserta aksesori berkaitan, khusus bagi tujuan pembangunan aset.
Projek tersebut dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh 20 bulan. - DagangNews.com
standard



