Restoran Di Old Delhi Sediakan Makanan Percuma Setiap Pagi, Bantu Golongan Miskin Sejak Puluhan Tahun

18 Nov 2026 • 7:14 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Restoran Di Old Delhi Sediakan Makanan Percuma Setiap Pagi, Bantu Golongan Miskin Sejak Puluhan Tahun

NEW DELHI – Sebuah restoran di kawasan berhampiran Jama Masjid, Old Delhi, India, menarik perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi kisah mengenai amalan pemiliknya menyediakan makanan percuma kepada golongan gelandangan dan fakir miskin setiap hari.

Menerusi perkongsian itu, pengguna Threads, @qwmadm…, menceritakan pengalamannya singgah makan di restoran dikenali sebagai Rehmatullah Hotel ketika berkunjung ke kawasan berkenaan.

Pada mulanya, dia berasa hairan melihat ramai individu beratur di hadapan restoran itu dalam keadaan tenang, tanpa berebut atau membuat bising.

Namun, selepas memerhatikan keadaan dan bertanya kepada penduduk tempatan, dia mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya sedang menunggu giliran untuk menerima makanan percuma yang disediakan oleh pihak restoran.

Amalan Kebajikan Sejak Puluhan Tahun

Menurut perkongsian itu, restoran berkenaan sudah lama dikenali penduduk setempat dan dipercayai mengamalkan kerja kebajikan tersebut sejak puluhan tahun lalu, sekitar era selepas kemerdekaan India pada 1960-an.

Keluarga pemilik restoran dikatakan berpegang kepada prinsip “Service to the Mankind” atau berkhidmat untuk kemanusiaan.

Malah, restoran itu turut dikenali sesetengah penduduk sebagai ‘Garib Hotel’ yang membawa maksud hotel untuk golongan miskin.

Setiap hari, seawal kira-kira jam 5 pagi selepas waktu Subuh, pihak restoran akan menyediakan roti panas dan lauk untuk diberikan secara percuma kepada golongan gelandangan serta mereka yang memerlukan di kawasan sekitar.

Hidangan Sama Seperti Pelanggan Berbayar

Apa yang lebih menarik, makanan yang disediakan bukan sekadar lebihan atau sisa daripada hidangan hari sebelumnya.

Sebaliknya, pihak restoran dikatakan memasak dan menghidangkan makanan panas dengan kualiti yang sama seperti hidangan untuk pelanggan yang membayar.

Perkongsian itu turut menyebut bahawa bantuan diberikan tanpa mengira agama atau latar belakang individu yang datang untuk mendapatkan makanan.

Pelanggan yang menjamu selera di restoran berkenaan juga berpeluang menyumbang dengan membuat bayaran tambahan di kaunter bagi membantu menyediakan makanan kepada mereka yang menunggu di luar.

Menurut pengguna Threads itu, dari luar restoran berkenaan kelihatan seperti kedai makan biasa di celah lorong sempit Old Delhi, namun mempunyai peranan besar dalam membantu mereka yang memerlukan.

Perkongsian tersebut turut mengingatkan bahawa kebaikan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang besar, sebaliknya boleh bermula dengan usaha menyediakan makanan kepada insan yang memerlukan. – The Malaysian Update

The post Restoran Di Old Delhi Sediakan Makanan Percuma Setiap Pagi, Bantu Golongan Miskin Sejak Puluhan Tahun appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved