Retak rahang bukan noktah New Joe ke Sukan Asia

6 Aug 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Retak rahang bukan noktah New Joe ke Sukan Asia

SEPANG: Kecederaan akibat kemalangan di Velodrom Sir Chris Hoy pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini belum menutup impian Lau New Joe untuk menggalas cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 biarpun peluangnya disifatkan tinggal 50-50.

Pelumba berbasikal trek endurance negara itu mengakui perkara pertama yang ditanyakannya kepada doktor sebaik sedar di hospital bukan mengenai kecederaan pada wajah, sebaliknya sama ada dia masih mempunyai peluang untuk kembali berlumba di pentas Sukan Asia.

“Perkara pertama yang saya tanya kepada doktor ialah sama ada saya masih boleh beraksi pada Sukan Asia dan jawapannya peluang itu 50-50 bergantung kepada proses pemulihan saya.

“Apa yang saya boleh buat sekarang ialah cuba memberikan yang terbaik untuk pulih dan kembali berlumba secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas tiba bersama kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Pada Ahad lalu, New Joe mengalami kemalangan ngeri membabitkan sembilan pelumba ketika aksi final acara scratch 10 kilometer (km) lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung dan disenaraikan sebagai gagal menamatkan perlumbaan.

Hasil pemeriksaan di Hospital Universiti Queen Elizabeth, Glasgow mengesahkan pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu mengalami keretakan pada tulang rahang atas (maxilla) serta patah beberapa batang gigi, namun tidak mengalami pendarahan otak dan kini akan menjalani rawatan susulan serta proses pemulihan di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN).

Dalam pada pelumba berusia 21 tahun itu berkata, dia enggan menjadikan kecederaan retak tulang rahang atas, gigi patah dan kecederaan di beberapa bahagian badan sebagai alasan untuk menguburkan impian kerana menyedari perjuangan itu turut membawa harapan seluruh pasukan kebangsaan.

“Saya memang mahu ke Sukan Asia kerana bukan saya seorang sahaja yang bekerja keras untuk berada di tahap ini, sebaliknya jurulatih, kakitangan sokongan dan seluruh pasukan turut berkorban bersama saya.

“Saya bukan berlumba untuk diri sendiri, tetapi membawa tanggungjawab seluruh pasukan dan sebab itu saya perlu melakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Mengulas detik kemalangan yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri ketika perlumbaan scratch 10km di Sukan Komanwel Glasgow 2026, New Joe mengakui langsung tidak mengingati apa yang berlaku selepas terjatuh sebelum tersedar di dalam ambulans.

“Saya memang tidak ingat apa-apa selepas terjatuh. Apabila sedar, saya sudah berada di dalam ambulans dan perlumbaan itu terasa seperti mimpi,” katanya. – UTUSAN

The post Retak rahang bukan noktah New Joe ke Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved