Rezeki Orang Kampung! Lori Ikan Terbalik Di Kuala Krai, Tauke Halalkan Hasil Laut Untuk Penduduk

21 Feb 2026 • 10:15 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA KRAI  – Rezeki tak disangka-sangka buat penduduk sekitar apabila sebuah lori membawa muatan ikan dilaporkan terbalik dalam kejadian sekitar jam 1 petang tadi.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, kejadian itu dipercayai berlaku di sekitar Kuala Krai dan memaparkan orang ramai mengutip ikan yang bertaburan di atas jalan.

Difahamkan, pemilik lori berkenaan mengambil keputusan untuk menghalalkan dan menyedekahkan kesemua hasil laut yang tercampak kepada penduduk kampung.

Tindakan spontan tauke tersebut nyata meraih pujian ramai yang menyifatkannya sebagai sikap pemurah dan bertimbang rasa, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Video yang dikongsi oleh Mohd Zikri itu kemudiannya menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata memuji sikap tauke berkenaan selain menyifatkan tindakan mengutip ikan tersebut sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan masalah lain. Ada yang berpendapat jika tidak dikutip segera, ikan-ikan itu berkemungkinan menimbulkan bau hanyir dan mengganggu penduduk berhampiran.

“Tak habis nanti orang komplen busuk,” tulis seorang pengguna ringkas.

Seorang lagi turut mendoakan agar pemilik lori itu dimurahkan rezeki atas keikhlasan berkongsi.

“Insya-Allah ada rezeki lain Allah balas nanti,” katanya.

Dalam masa sama, ada juga yang berpandangan situasi itu bukan sahaja menjadi rezeki buat orang kampung, malah membantu mengelakkan keadaan kurang selesa sekiranya hasil laut tersebut dibiarkan begitu sahaja.

Apa pun, kejadian yang pada awalnya mencetuskan kebimbangan akhirnya bertukar menjadi kisah penuh hikmah, memperlihatkan nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat. – The Malaysian Update

The post Rezeki Orang Kampung! Lori Ikan Terbalik Di Kuala Krai, Tauke Halalkan Hasil Laut Untuk Penduduk appeared first on The Malaysian Update.