RHB Investment jangka pertumbuhan Duopharma disokong pemerolehan ubat daripada sektor awam dan swasta, lanjutan kontrak APPL

Business & Finance
9 Nov 2023 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Investment jangka pertumbuhan Duopharma disokong pemerolehan ubat daripada sektor awam dan swasta, lanjutan kontrak APPL

diyana

09/11/2023 - 10:28

KUALA LUMPUR 9 Nov - RHB Investment menjangkakan pertumbuhan Duopharma Biotech Berhad disokong oleh pemerolehan ubat yang kuat daripada sektor awam dan swasta, pembaharuan senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL) dan sinergi berpotensi yang dijana daripada firma penerima pelaburan kumpulan itu.

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa jualan sektor awam dijangka bertambah baik secara beransur-ansur berikutan peruntukan bajet yang lebih tinggi untuk perolehan ubat kepada Kementerian Kesihatan berjumlah RM5.5 bilion pada 2024 berbanding RM4.9 bilion bagi 2023.

Di samping itu, ia juga disokong oleh lanjutan kontrak APPL sehingga Disember 2023 dan dijangka disemak semula dengan tempoh kontrak baharu menjelang separuh pertama 2024.

“Momentum pertumbuhan daripada sektor swasta harus terus kukuh, pada pandangan kami, berikutan peningkatan pesakit antarabangsa, trend masyarakat yang semakin tua dan sokongan daripada agenda reformasi kerajaan,” tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB Investment berkata demikian susulan prestasi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang meleset daripada jangkaan firma dan Street berikutan jualan yang lebih lemah daripada jangkaan daripada bahagian penjagaan kesihatan pengguna (CHC).

Menurut firma itu, prestasi kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama FY23 berikutan keputusan 3QFY23 hanya merangkumi anggaran tahun penuhnya dan Street masing-masing pada 64% dan 66%.

Bagaimanapun, firma itu melihat kemerosotan tersebut sebagai sementara memandangkan prospek kumpulan kukuh.

“Kami menurunkan pendapatan FY23F-24 sebanyak 13% hingga 3%, dengan mengambil kira kos bahan mentah lebih tinggi dan kos yang berkaitan dengan pentauliahan kilang pengeluaran baharu, K3,” tambahnya.

Oleh itu, RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) rendah sedikit pada RM1.35 sesaham daripada RM1.38 sebelumnya. - DagangNews.com