RHB Investment positif penglibatan pemaju hartanah terhadap NETR
azan
31/07/2023 - 09:41
KUALA LUMPUR 31 Julai - RHB Investment positif dengan penglibatan pemaju hartanah terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Firma itu berkata, kebanyakan pemaju hartanah mungkin terlibat dengan penjanaan tenaga solar bagi membantu menyelesaikan perbelanjaan modal yang diperlukan melalui jalinan kerjasama.
"Ia merupakan peluang terbaik bagi mereka yang mempunyai bank tanah yang besar untuk menggunakan sebahagian daripada tanah bukan teras terutamanya plot terpencil yang kebiasaannya dibiarkan kosong," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, NETR Fasa 1 dijangka membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.
Peningkatan pelaburan yang dirangsang oleh NETR, membuka peluang untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan dan bernilai tinggi dan ia dianggarkan membawa kira-kira 23,000 pekerjaan berimpak tinggi.
Firma itu berkata, Sime Darby Property Berhad merupakan antara syarikat yang merancang untuk menggabungkan penyelesaian solar atas bumbung untuk produk hartanahnya pada masa hadapan.
Katanya, pada masa sama mereka juga meneroka untuk membuka ladang solar di Jerai, Kedah (147.7 hektar) dan Pagoh, Johor (257 hektar).
"UEM Group Berhad juga telah memeterai perjanjian dengan Itramas Corp, CMEC Wuxi, Blueleaf Energy dan HEXA Renewables untuk membangunkan loji kuasa solar fotovoltaik (PV) hibrid 1GW di Malaysia yang akan disepadukan dengan taman perindustrian tenaga boleh diperbaharui.
"Walaupun Itramas merupakan pemaju ladang solar bersepadu terbesar di Malaysia, CMEC Wuxi ialah perusahaan milik kerajaan China yang melibatkan penjanaan kuasa solar PV," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dengan UEM Sunrise, IOI Properties and Matrix Concepts menjadi pilihan utama. - DagangNews.com


