RHB Research kekal saranan 'Beli' Malakoff walaupun dihimpit cukai efektif tinggi

Business & Finance
19 Aug 2026 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Research kekal saranan 'Beli' Malakoff walaupun dihimpit cukai efektif tinggi Image from: RHB Research kekal saranan 'Beli' Malakoff walaupun dihimpit cukai efektif tinggi hamden19/08/2026 - 10:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos - RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Malakoff Corp Bhd, walaupun kumpulan utiliti itu berdepan tekanan daripada kadar cukai efektif (ETR) yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan sehingga memaksa unjuran pendapatan FY26F dikurangkan sebanyak 45%.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun melihat prospek pemulihan operasi Malakoff masih utuh, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada loji janakuasa Prai serta jangkaan peningkatan prestasi Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBP) pada separuh kedua tahun ini.

 

RHB Research turut menyemak turun harga sasaran (TP) Malakoff kepada RM1.00 daripada RM1.06 sebelum ini, namun penilaian tersebut masih menawarkan potensi kenaikan sebanyak 16%, selain hasil dividen sekitar 4% bagi FY27F.

 

Menurut RHB, pemotongan ketara terhadap unjuran pendapatan FY26F dibuat selepas mengambil kira andaian ETR sebanyak 40%, berbanding 19% sebelum ini.

 

Pelarasan itu dibuat susulan ETR Malakoff yang melonjak kepada 51% pada suku kedua FY26, yang menurut pengurusan berpunca terutamanya daripada perbelanjaan berkaitan sukuk yang tidak layak menerima potongan cukai.

 

Walaupun pihak pengurusan sedang bekerjasama dengan juruaudit bagi mencari jalan mengurangkan kadar tersebut, RHB memilih pendekatan lebih berhati-hati dengan menaikkan andaian ETR kepada 40% bagi FY26F, selain 28% bagi FY27F dan FY28F berbanding 21% sebelum ini.

 

Dimbangi Proses Pemulihan Semakin Kukuh

Bagaimanapun, RHB melihat tekanan cukai itu sebagai cabaran sementara yang perlu diimbangi dengan prospek pemulihan operasi kumpulan.

 

Loji janakuasa Prai berkapasiti 350MW, misalnya, mencatatkan prestasi lebih baik daripada jangkaan selepas lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) berkuat kuasa pada April.

 

Loji itu mencapai faktor ketersediaan tenaga (EAF) sebanyak 91% dan faktor kapasiti 30%, sekali gus menyumbang kira-kira RM90 juta kepada hasil kumpulan pada 2Q26.

 

Susulan itu, RHB menaikkan andaian faktor kapasiti Prai kepada 20% bagi FY26F daripada 9% sebelum ini, sebelum meningkat kepada 30% bagi FY27F dan FY28F.

 

Pada masa sama, RHB menjangkakan pemulihan operasi TBP akan menjadi pemangkin utama kepada prestasi Malakoff pada 2H26, selepas operasi rotor disambung semula bulan ini.

 

Penetapan semula kadar gangguan tidak berjadual (UOR) TBP pada 2027 pula dijangka membolehkan Malakoff menerima bayaran kapasiti penuh, sekali gus memperkukuh sumbangan loji tersebut kepada kumpulan.

 

 

Bagi mencerminkan prestasi semasa, RHB mengurangkan andaian faktor kapasiti TBP kepada 48% bagi FY26F daripada 75% sebelum ini, berdasarkan kadar 44% yang dicatatkan pada 1H26.

 

Namun bagi FY27F, firma penyelidikan itu menjangkakan EAF dan faktor kapasiti bertambah baik kepada masing-masing 90% dan 77%, selaras dengan pemulihan operasi yang semakin kukuh.

 

Unjuran Pendapatan

Secara keseluruhan, RHB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Malakoff bagi FY26F hingga FY28F masing-masing sebanyak 45%, 13% dan 12%, dengan pelarasan tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada andaian ETR yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, penurunan unjuran FY26 tidak menghalang RHB daripada mengekalkan saranan BELI, memandangkan kumpulan dijangka mencatat pemulihan pendapatan yang lebih ketara pada FY27.

 

RHB berkata, harga sasaran RM1.00 itu turut mengambil kira diskaun ESG sebanyak 12% dan dinilai berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 24 kali bagi FY27F, hampir kepada paras +1 sisihan piawai daripada purata.

 

Penilaian tersebut turut mencerminkan prospek pertumbuhan baharu Malakoff menerusi rancangan pembinaan loji janakuasa gas.

 

Untuk rekod, Malakoff telah menempah empat turbin bagi menyokong rancangan pembinaan dua loji janakuasa gas baharu berkapasiti 1.4GW setiap satu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Segari, Perak.

 

Pentauliahan loji baharu itu dilihat tepat pada masanya bagi menggantikan peranan TBP, yang PPA-nya dijangka tamat pada September 2031. Malakoff sendiri kini memposisikan perniagaannya dalam penyelesaian tenaga dan alam sekitar, di samping kekal sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar Malaysia.

 

Menurut RHB, sekiranya kumpulan berjaya memenangi bidaan untuk membina sebuah loji baharu berkapasiti 1.4GW, ia berpotensi memberikan tambahan sekitar 42% kepada harga sasaran- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved