Pendapatan Dialog diunjur meningkat sehingga RM180 juta pada 4QFY26 dipacu segmen huluan kukuh - RHB Research

Business & Finance
19 Aug 2026 • 10:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Dialog diunjur meningkat sehingga RM180 juta pada 4QFY26 dipacu segmen huluan kukuh - RHB Research Image from: Pendapatan Dialog diunjur meningkat sehingga RM180 juta pada 4QFY26 dipacu segmen huluan kukuh - RHB Research hamden19/08/2026 - 10:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Dialog Group Bhd dijangka mencatat prestasi pendapatan lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), disokong oleh sumbangan segmen huluan yang lebih baik serta operasi terminal yang kekal berdaya tahan.

 

Pada masa sama, pengembangan berterusan di Pengerang dijangka memberikan keterlihatan lebih jelas terhadap pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam tempoh akan datang.

 

RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Dialog dengan harga sasaran (TP) RM2.44, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), yang memberikan potensi kenaikan sebanyak 26% serta hasil dividen sekitar 2.4% bagi FY27F (Jun).

 

Firma penyelidikan itu berkata, asas pendapatan berulang Dialog yang defensif terus disokong oleh kadar penggunaan terminal tangki yang sihat serta model kontrak yang kebanyakannya berasaskan konsep ambil atau bayar (take-or-pay).

 

Menurutnya, persekitaran harga minyak yang lebih kukuh pada 4QFY26 turut memberikan sokongan kepada operasi huluan Dialog.

 

Harga purata Brent meningkat kepada AS$96.70 setong pada 4QFY26 daripada AS$78 setong pada 3QFY26, iaitu peningkatan 24% secara suku ke suku (QoQ).

 

“Persekitaran harga minyak yang lebih kukuh sepatutnya menyokong pendapatan huluan, walaupun tahap manfaat bergantung kepada paras pengeluaran dan prestasi operasi sepanjang suku tersebut,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pendapatan 4QFY26 dijangka meningkat

RHB Research menjangkakan PATMI teras 4QFY26 meningkat kepada RM163 juta hingga RM180 juta, berbanding RM148 juta pada 3QFY26.

 

Peningkatan itu dijangka dipacu oleh sumbangan operasi huluan yang lebih kukuh, sementara operasi terminal yang berdaya tahan terus menyediakan asas pendapatan yang stabil kepada kumpulan.

 

Dalam segmen pertengahan rantaian, Dialog terus menikmati pendapatan stabil dan berulang menerusi model perniagaan yang sebahagian besarnya berasaskan kontrak take-or-pay.

 

Kadar penggunaan aset terminal tangki kekal sihat pada paras melebihi 90%, manakala kadar penyimpanan bebas stabil sekitar SGD6 hingga SGD6.50 setiap meter padu sebulan.

 

Pengembangan Pengerang

Selain prestasi operasi semasa, perkembangan di Pengerang turut menjadi antara pemangkin utama kepada keterlihatan pendapatan Dialog.

 

Pengembangan Fasa 3 Pengerang Deepwater Terminals (PDT) akan menambah kapasiti penyimpanan sebanyak 614,000 meter padu, dengan BP Singapore sebagai pelanggan jangka panjang khusus.

 

Apabila ditauliahkan sepenuhnya, kemudahan tambahan itu berpotensi menjana kira-kira RM135 juta hingga RM150 juta hasil terminal setahun.

 

RHB Research berkata perkembangan tersebut mengukuhkan lagi sifat defensif asas pendapatan berulang Dialog dalam jangka panjang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan serta TP RM2.44, dengan penilaian SOP mengambil kira nilai perniagaan teras, aset terminal dan operasi huluan Dialog.

 

Penilaian itu turut memasukkan diskaun ESG sebanyak 6%, berdasarkan skor ESG kumpulan 2.7 berbanding median negara 3.0.

 

Risiko penurunan utama termasuk harga minyak lebih rendah, kadar terminal tangki lebih rendah serta kadar penggunaan lebih rendah bagi terminal penyimpanan bebas. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved