amree07/08/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos – Pentamaster Corporation Berhad dijangka memasuki fasa pertumbuhan lebih kukuh pada separuh kedua 2026 (2H26) dengan nilai tempahan terkumpul sudah naik ke paras tertinggi.
Menurut analisis RHB Research, ia mencecah RM550 juta, meskipun syarikat masih berdepan cabaran penyusutan margin keuntungan dan kadar cukai yang lebih tinggi selepas tamat insentif sebelum ini.
Ujar firma penyelidikan itu, keuntungan bersih teras bagi separuh pertama 2026 (1H26) memenuhi jangkaan pasaran, dan prestasi tersebut akan bertambah baik disokong oleh buku tempahan yang semakin kukuh
"Perkembangan positif dicatatkan Pentamaster ini dijana permintaan berterusan terhadap rumusan automasi kilang (FAS) dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sektor perubatan," jelasnya.
Bagi separuh pertama 2026 kata RHB Research, kumpulan merekodkan hasil RM361.2 juta, naik 30.6%, manakala keuntungan bersih ialah RM29 juta kerana dipengaruhi margin kasar yang lebih rendah.
Segmen FAS terus menjadi pemacu pertumbuhan apabila hasilnya melonjak 112% didorong permintaan kukuh daripada pelanggan dalam bidang AI Compute yang kini menyumbang 29% daripada hasil segmen.

Jualan perniagaan penjagaan kesihatan Pentamaster juga naik kepada RM20 juta hasil permintaan terhadap peranti perubatan, namun masih belum mencapai keuntungan kerana skala operasi kecil.
"Asas pertumbuhan kekal kukuh dengan buku tempahan semasa yang terdiri sektor perubatan (50%), AI Compute (30%), elektro-optik (3%) dan aplikasi lain, memberikan hasil kukuh," kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, pengurusan turut mengklasifikasikan semula sebahagian projek yang sebelum ini berada di bawah segmen produk pengguna dan industri diubah kepada AI Compute.
Mengambil kira prospek Pentamaster semakin positif, ia menaikkan unjuran keuntungan bagi FY27 dan FY28 masing-masing kepada 25% dan 13%, didorong andaian buku tempahan kumpulan yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' sambil menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM6.32 daripada RM5.04 sesaham, berdasarkan unjuran permintaan yang kukuh terhadap automasi AI.
"Kami mengingatkan risiko seperti kelembapan tempahan baharu, kelewatan projek dan turun naik kadar pertukaran mata wang asing (forex) kekal perlu diberi perhatian," katanya. - DagangNews.com






