Kontrak pusat data baharu tingkatkan buku tempahan Gamuda cecah RM54 bilion pada FY27 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 9:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak pusat data baharu tingkatkan buku tempahan Gamuda cecah RM54 bilion pada FY27 - Penganalisis Image from: Kontrak pusat data baharu tingkatkan buku tempahan Gamuda cecah RM54 bilion pada FY27 - Penganalisis amree06/08/2026 - 09:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 OgosGamuda Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan apabila memperoleh kontrak pusat data (DC) bernilai RM1.71 bilion di Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Menurut penganalisis, perkembangan terbaharu itu sekali gus melonjakkan nilai buku tempahan kepada kira-kira RM54 bilion dan mengukuhkan jangkaan pertumbuhan pendapatan bermula tahun kewangan 2027.

 

MBSB Research berkata, kontrak daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dijadual bermula pada suku ketiga 2026 dan siap pada suku kedua 2028.

 

"Ini projek DC kedua yang dimenangi Gamuda di Port Dickson tahun ini dan dijangka mencatat margin keuntungan sebelum cukai sekitar 7% hingga 9% menerusi mekanisme kos tambah," jelas firma tersebut.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM5.60 kerana percaya kumpulan berada di posisi terbaik menikmati kitaran pertumbuhan hasil dengan banyak proses masih dalam fasa awal.

 

Projek DC ujar MBSB Research, akan terus menjadi penyumbang utama pengisian buku tempahan, dengan potensi dua lagi kontrak baharu bernilai RM1 bilion setiap satu diraih dalam separuh kedua 2026.

 

Gamuda_DagangNews2026

 

Selain itu, kampus DC di Port Dickson berpotensi menempatkan kapasiti tambahan 600MW, bersamaan peluang kerja pembinaan untuk Gamuda dengan nilai RM12 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun.

 

"Pada masa sama, prospek projek lain termasuk Skim Bekalan Air Perak Utara, sistem LRT Pulau Pinang serta projek di Australia dan Taiwan juga ada peluang meningkatkan pendapatan kumpulan," katanya.

 

Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli', namun menyemak TP kepada RM6.02 sesaham daripada RM6.11 selepas membuat sedikit pelarasan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28.

 

Ujarnya, kontrak DC baharu itu merupakan kemenangan pertama Gamuda bagi FY27 dan margin keuntungan sebelum cukai diunjur 8% kerana pelanggan perlu menanggung sebahagian besar risiko kos pembinaan.

 

Firma itu percaya tender tersebut diperoleh daripada pelanggan yang sama kerana lokasi projek masih berada di sekitar Port Dickson yang mempunyai potensi pembangunan antara lima hingga tujuh kampus.

 

"Kami berpandangan kumpulan berada di landasan kukuh untuk mengekalkan buku tempahan pada paras RM55 bilion menjelang akhir 2026 memandangkan ia sedang membida banyak projek," kata RHB Research 

 

Bagaimanapun ia berpandangan projek DC kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan Gamuda, disokong prospek kontrak baharu yang kukuh serta keterlihatan pendapatan semakin baik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved