liza20/08/2026 - 11:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – RHB Research menjangkakan prestasi Solarvest Holdings Berhad akan bertambah baik pada suku-suku akan datang disokong peningkatan aktiviti projek solar serta permintaan yang berterusan daripada sektor komersial, perindustrian dan projek solar berskala utiliti.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham Solarvest dengan harga sasaran RM3.64 sesaham, berbanding harga pasaran RM3.03 yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 20.1%.
RHB Research juga mengunjurkan pendapatan Solarvest meningkat daripada RM757 juta pada FY2026 kepada RM1.367 bilion pada FY2027, sebelum meningkat lagi kepada RM1.929 bilion pada FY2028 dan RM2.209 bilion pada FY2029.
“Keuntungan bersih pula dijangka meningkat daripada RM80 juta pada FY2026 kepada RM101 juta pada FY2027, RM129 juta pada FY2028 dan RM155 juta pada FY2029.
“Unjuran tersebut dibuat kerana kami melihat pertumbuhan Solarvest sebagai perkembangan yang boleh berterusan dalam beberapa tahun akan datang, bukannya hanya bergantung kepada prestasi satu-satu suku,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Bagi FY2027, pertumbuhan pendapatan Solarvest diunjurkan mencecah 80.5%, manakala pertumbuhan pendapatan dijangka masing-masing 41.2% pada FY2028 dan 14.5% pada FY2029.
Tiga pemacu utama Solarvest
Menurut RHB, antara pemacu utama Solarvest ialah permintaan terhadap kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar daripada projek komersial serta perindustrian.
Selain itu, permintaan terhadap kerja EPCC bagi projek solar berskala utiliti turut menjadi pemacu penting, di samping dasar kerajaan yang menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
ARTIKEL BERKAITAN: Hasil Solarvest meningkat kepada RM156 juta bagi 1QFY27 dijana projek solar berskala besar
RHB berkata prestasi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) Solarvest menunjukkan tanda positif apabila pendapatan meningkat 13.2% kepada RM155.9 juta berbanding RM137.7 juta pada 1QFY26.
Keuntungan bersih pula meningkat 19.8% kepada RM19 juta manakala keuntungan teras naik 4.6% kepada RM17.9 juta dan menyifatkan keputusan itu berada dalam jangkaannya.
Projek solar terus sokong pendapatan
Pertumbuhan pendapatan pada suku berkenaan sebahagian besarnya disokong oleh kemajuan pengebilan projek Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) serta permulaan projek Solar Berskala Besar 5 (LSS5).
Pendapatan daripada segmen EPCC penyelesaian tenaga solar meningkat 11.5% tahun ke tahun kepada RM139 juta pada 1QFY27, berbanding RM124.7 juta setahun sebelumnya.
Pada masa sama, perniagaan Solarvest turut merangkumi operasi dan penyelenggaraan sistem solar serta penjualan elektrik yang dijana daripada tenaga solar. Pendapatan daripada penjualan elektrik meningkat 25.8% tahun ke tahun kepada RM9.6 juta.
Pelan Strategik Lima Tahun
RHB turut melihat Solarvest sedang memperluaskan peranannya dalam ekosistem tenaga bersih, selaras dengan pelan strategik lima tahunnya.
Selain penjanaan tenaga bersih, kumpulan itu menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk penyimpanan tenaga menggunakan bateri, kecekapan tenaga, mobiliti hijau, Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC), kredit karbon dan perkhidmatan perundingan kelestarian.
Namun, RHB turut menyenaraikan beberapa risiko kepada Solarvest, termasuk kebergantungan kepada dasar dan inisiatif kerajaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui, persaingan serta kemungkinan peningkatan kos projek yang tidak dijangka. - DagangNews.com






