Tempahan baharu Kelington cecah RM1.23 bilion sepanjang 1H26

Business & Finance
20 Aug 2026 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tempahan baharu Kelington cecah RM1.23 bilion sepanjang 1H26 Image from: Tempahan baharu Kelington cecah RM1.23 bilion sepanjang 1H26 liza20/08/2026 - 17:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Kelington Group Berhad memperoleh RM1.23 bilion tempahan baharu dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (1HFY2026), hampir menyamai RM1.25 bilion yang diperoleh sepanjang FY2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group Berhad, Lim Seng Chuan berkata pencapaian itu mencerminkan permintaan berterusan dalam pasaran kumpulan serta keupayaannya untuk memenuhi piawaian yang ditetapkan pelanggan.

 

Pada 30 Jun 2026, kumpulan itu mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM2.04 bilion, manakala buku tender berjumlah RM7.5 bilion yang menyediakan keterlihatan pendapatan yang kukuh untuk tempoh akan datang.

 

Pertumbuhan disokong industri semikonduktor

Beliau berkata kumpulan itu akan terus aktif membida projek dalam pasaran sedia ada dan baharu bagi merebut peluang pertumbuhan, namun kekal berdisiplin dalam memilih projek yang memenuhi jangkaan margin keuntungannya.

 

Menurut Persatuan Industri Semikonduktor dan Bahan Antarabangsa (SEMI), jualan global peralatan pembuatan semikonduktor dijangka meningkat 23.2% kepada AS$165.9 bilion pada 2026 sebelum mencecah AS$229.5 bilion menjelang 2028.

 

Perkembangan itu mengukuhkan skala peluang yang tersedia kepada Kelington, khususnya menerusi perniagaan kejuruteraan yang berkaitan dengan industri semikonduktor dan elektronik.

 

Dalam segmen gas industri, Kelington terus meneroka peluang pelaburan baharu, termasuk pelaburan AS$29.3 juta atau kira-kira RM120 juta untuk membangunkan loji pemisahan udara berkapasiti 300 tan sehari di Maharashtra, India yang diumumkan pada 5 Ogos 2026.

 

Loji itu disasarkan siap pada suku ketiga 2028 dan akan menjadi platform pengeluaran gas industri pertama Kelington di India, sekali gus mempelbagaikan asas pendapatan kumpulan serta meletakkannya pada kedudukan untuk meraih permintaan yang semakin meningkat daripada sektor perindustrian di Maharashtra.

 

Teroka CCS dan tenaga lestari

Kelington turut memperluaskan inisiatif Kejuruteraan Lestari, termasuk kajian penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) bersama PETRONAS CCS Solutions Sdn Bhd yang kini diperluaskan bagi merangkumi Satellite CO₂ Terminal.

 

Kumpulan itu pada masa sama sedang menilai peluang dalam hidrogen hijau dan gas asli termampat bio (bio-CNG), yang akan membolehkan Kelington mengambil bahagian dalam pembangunan ekosistem penangkapan karbon dan pasaran karbon di Malaysia.

 

Bagi 1HFY2026, Kelington mencatat keuntungan bersih RM71.7 juta daripada hasil RM614.8 juta dengan margin keuntungan bersih meningkat kepada 11.7% daripada 10.8%, disokong campuran projek yang menggalakkan dengan tumpuan kepada projek bermargin lebih tinggi.

 

Untung 2QFY26 naik 25.7%, dividen 3 sen

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), keuntungan bersih Kelington meningkat 25.7% kepada RM41.3 juta berbanding RM32.9 juta dalam suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 22.1% kepada RM344.4 juta daripada RM282 juta sebelum itu.

 

Peningkatan itu disokong sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen teras kumpulan berikutan peningkatan aktiviti projek di Singapura, Malaysia, Taiwan dan Jerman.

 

Segmen Kejuruteraan Ketulenan Ultra Tinggi kekal sebagai penyumbang terbesar hasil pada 1HFY2026 dengan RM401.7 juta atau 65.3% daripada jumlah hasil diikuti Infrastruktur Perindustrian Lanjutan sebanyak RM111.2 juta, Gas Industri (RM62.8 juta) Kejuruteraan Proses ( RM36 juta) serta Peralatan dan Bahan (RM20.1 juta).

 

Dari segi geografi, Singapura merupakan pasaran terbesar Kelington dengan sumbangan 40.7% daripada jumlah hasil diikuti Malaysia sebanyak 33.9%, China 15%, Taiwan 4.4% dan Jerman 2.3%, manakala baki 3.7% datang daripada India, Filipina dan pasaran lain.

 

Kelington turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 3.0 sen sesaham bagi FY2026 berjumlah RM26.5 juta.

 

Dengan pengumuman itu, jumlah dividen yang telah diisytiharkan bagi FY2026 meningkat kepada 6 sen sesaham atau RM52.8 juta, bersamaan 73.6% daripada keuntungan bersih 1HFY2026. 

 

Setakat 30 Jun 2026, kumpulan itu mempunyai kedudukan tunai bersih RM110.7 juta, dengan jumlah tunai RM328.6 juta berbanding jumlah pinjaman RM217.9 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved