RIM pertahan tindakan undang-undang di mahkamah cabar garis panduan royalti ditetapkan MyIPO

LocalMusic
16 Oct 2026 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RIM pertahan tindakan undang-undang di mahkamah cabar garis panduan royalti ditetapkan MyIPO Image from: RIM pertahan tindakan undang-undang di mahkamah cabar garis panduan royalti ditetapkan MyIPO amree16/10/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt — Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mempertahankan tindakan Public Performance Malaysia (PPM) dan organisasi pengurusan kolektif (CMO) mencabar garis panduan royalti hak cipta oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di mahkamah.

 

Dalam kenyataan, ia berkata, PPM dan CMO menyokong langkah kawal selia yang dapat meningkatkan ketelusan serta tadbir urus demi kepentingan pencipta karya, namun ada peruntukan yang bermasalah dalam garis panduan dan mendorong semakan kehakiman difailkan.

 

Justeru, badan tersebut menegaskan langkah itu tidak bermaksud mereka menolak ketelusan atau perlindungan pencipta. Bagaimanapun ia enggan mengulas berhubung isu merit cabaran undang-undang berkenaan kerana perkara itu masih dalam proses mahkamah.

 

"RIM turut menafikan dakwaan bahawa PPM ialah badan kutipan royalti kepada RIM, dengan menjelaskan yang PPM memang merupakan sebuah entiti berasingan serta mempunyai corak keahlian dan lembaga pengarah mereka tersendiri," jelas kenyataan tersebut.

 

Isu berkenaan timbul selepas Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pada 7 Oktober 2026 mengkritik gesaan RIM supaya kerajaan dapat menyediakan satu dana khas bagi usaha mempromosikan muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi Belanjawan 2027.

 

Karyawan mempersoalkan permintaan dana awam itu ketika RIM turut mencabar garis panduan hak cipta melalui PPM bersama dua lagi CMO. Ia turut membangkitkan kebimbangan ke atas kelewatan pembayaran royalti kepada artis serta ketelusan pengiraan dan pengagihan kutipan.

 

muzik_DagangNews
Foto kredit Istana Budaya

 

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim sebelum ini menggesa kerajaan menubuhkan dana khusus bagi membawa muzik tempatan ke pentas global. Bagaimanapun, Karyawan berpandangan isu utama industri bukan kekurangan pembiayaan, sebaliknya berkaitan akauntabiliti.

 

Menjawab kebimbangan itu, RIM berkata aduan mengenai pembayaran royalti kepada artis tertentu perlu disiasat secara berasingan dan tidak seharusnya dianggap sebagai bukti bahawa keseluruhan sistem diamalkan selama ini sebagai tidak telus.

 

"Dana khas yang dicadangkan kami bertujuan menyokong penyertaan dalam acara muzik antarabangsa, promosi di luar negara, pemasaran digital dan kerjasama bagi membantu artis serta syarikat muzik Malaysia menembusi pasaran baharu," jelas beliau dalam kenyataan.

 

Persatuan tersebut menegaskan pelaburan untuk pasaran antarabangsa tidak bercanggah dengan keperluan membangunkan pasaran domestik, sebaliknya kedua-duanya saling melengkapi bagi pertumbuhan jangka panjang industri muzik tempatan.

 

RIM turut menjadikan industri hiburan di Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh rujukan bagaimana pelaburan berterusan dalam bakat, produksi dan promosi dapat meningkatkan permintaan domestik serta meluaskan akses ke pasaran antarabangsa.

 

Sehubungan itu, persatuan tersebut berkata, tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan dana yang berkesan dan manfaat yang boleh diukur, di samping memastikan akauntabiliti dalam industri terus diberi perhatian. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved