haziq13/01/2026 - 18:14 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Jan – Rimbunan Sawit Berhad (RSB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sastat Holdings Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli bersyarat untuk melupuskan sebidang tanah di Batang Baram, Baram, Sarawak dengan pertimbangan tunai RM28 juta.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, perjanjian itu ditandatangani pada 13 Januari 2026 dengan Trinity Capital Resources Sdn Bhd, melibatkan pelupusan tanah berkeluasan kira-kira 1,504 hektar yang dikenali sebagai Lot 205 Teraja Land District, terletak di Bahagian Miri, Sarawak.
RSB berkata, cadangan pelupusan berkenaan diklasifikasikan sebagai Transaksi Bukan Pihak Berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Bab 10 dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk mengoptimumkan pegangan aset serta memperkemas portfolio perniagaannya.
Menurut syarikat, pelupusan itu dijangka menyokong pengurusan modal yang lebih cekap melalui penukaran aset bukan teras kepada tunai, sekali gus memberikan fleksibiliti kewangan bagi menyokong keperluan operasi dan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
“Cadangan pelupusan ini mencerminkan disiplin pengurusan aset RSB dalam memaksimumkan nilai pemegang saham, di samping mengekalkan fokus terhadap teras perniagaan kumpulan,” menurut syarikat dalam pemakluman tersebut. - DagangNews.com
