hamden23/09/2026 - 17:50 Ibu pejabat Rimbunan Hijau di Sibu, Sarawak Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept - Rimbunan Sawit Bhd menjelaskan gangguan akses ke Estet Ulu Teru milik PJP Pelita Ulu Teru Plantation Sdn. Bhd. dijangka menyebabkan pengurangan hasil kira-kira RM10 juta kepada kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kumpulan berkata, penilaian terhadap kesan operasi dan kewangan susulan gangguan berkenaan telah selesai.
“Berdasarkan penilaian, gangguan tersebut telah mengakibatkan anggaran pengurangan hasil kira-kira RM10 juta,” katanya.
Rimbunan Sawit berdepan gangguan operasi di Ladang Ulu Teru milik anak syarikatnya selepas laluan utama ke ladang tersebut disekat sejak 18 Jun lalu, menyebabkan aktiviti penuaian, pengangkutan buah tandan segar (FFB) serta beberapa operasi ladang terjejas.
ARTIKEL BERKAITAN: Laluan utama ke Ladang Ulu Teru disekat, operasi Rimbunan Sawit terjejas sejak 18 Jun
Bagaimanapun sekatan di laluan utama ke Estet Ulu Teru telah ditarik balik pada 15 September 2026.
Susulan penarikan sekatan itu, operasi estet berkenaan telah disambung semula sepenuhnya pada 21 September 2026.
Syarikat berkata, Lembaga Pengarah akan terus memantau situasi berkenaan, manakala pihak pengurusan akan mengambil langkah yang diperlukan bagi melindungi operasi dan kepentingan syarikat. - DagangNews.com




