johardy11/08/2026 - 17:58 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos - Rivertree STF Synergies Berhad (RSSB), yang sebelum ini dikenali sebagai Sinmah Capital Bhd, merancang mengambil alih dua syarikat pembangunan hartanah dengan nilai keseluruhan RM46.29 juta secara tunai bagi mengembangkan portfolio pembangunan apartmen servisnya.
Kumpulan itu mencadangkan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Rivertree Landmark Sdn Bhd (RLSB) pada harga RM32.72 juta dan Rivertree Signatures Sdn Bhd pada harga RM13.57 juta, menurut nota pekelilingnya kepada para pemegang saham.
RLSB memiliki Hartanah 1, manakala Rivertree Signatures mempunyai hak pembangunan bersama bagi Hartanah 2, dengan kedua-dua hartanah diperuntukkan untuk pembangunan apartmen servis.
RSSB berkata pengambilalihan itu akan mengukuhkan saluran projek pembangunan kumpulan, dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) kedua-dua hartanah menyediakan potensi penjanaan hasil pada masa depan yang dijangka direalisasikan secara berperingkat sejajar dengan fasa pembangunan.
Pengambilalihan itu juga membolehkan RSSB meluaskan kehadirannya ke lokasi projek baharu serta memperluas portfolio pembangunan hartanahnya kepada bangunan apartmen servis.
Secara berasingan, RSSB mencadangkan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Irama Setia Sdn Bhd (ISSB) kepada Datuk Seri Rahadian Mahmud bin Mohammad Khalil pada harga RM12.97 juta secara tunai.
Laman Lentera hampir siap
Pembangunan Laman Lentera Kuala Kubu Bharu yang sedang dilaksanakan oleh ISSB kini hampir siap.
RSSB berkata pelupusan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk merealisasikan nilai daripada hartanah berkenaan pada harga yang dianggap wajar serta memperoleh tunai secara langsung, meskipun transaksi itu akan mengakibatkan kerugian pelupusan.
Hasil pelupusan itu akan digunakan terutamanya untuk keperluan modal kerja kumpulan, sekali gus memberi fleksibiliti dalam peruntukan kewangan bagi keperluan operasi segmen pembinaannya.
Pelupusan itu juga berpotensi mengurangkan ketidakpastian berkaitan usaha mendapatkan pembeli selepas pembangunan siap. Setakat tarikh penilaian pada 11 Mac 2026, sebanyak 32 daripada keseluruhan 51 unit, atau 62.75%, masih belum terjual.
RSSB berkata pelupusan itu turut membolehkan kumpulan menyusun semula portfolio asetnya dan menumpukan sumber kepada projek sedia ada yang sedang dilaksanakan serta projek baharu, termasuk yang bakal diperoleh menerusi cadangan pengambilalihan berkenaan.
Cadangan pengambilalihan dan pelupusan itu tidak bersyarat antara satu sama lain serta tertakluk kepada kelulusan pemegang saham RSSB yang tidak berkepentingan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Menurut RSSB, Dato' Leong Sai Mun dan Datuk Fong Kiah Yeow akan berkecuali daripada perbincangan dan pengundian berkaitan cadangan pengambilalihan, manakala Rahadian akan berkecuali dalam perkara berkaitan cadangan pelupusan.
Lembaga Pengarah, tidak termasuk pengarah yang berkepentingan dalam transaksi masing-masing, mengesyorkan pemegang saham mengundi menyokong ketiga-tiga cadangan berkenaan. - DagangNews.com






