johardy11/08/2026 - 14:09 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos - Sime Darby Property Bhd membeli 225.39 hektar (hampir 557 ekar) tanah pegangan bebas di Kulai, Johor pada harga RM418.5 juta, sekali gus memperluas kedudukannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ketika kumpulan itu mencari sumber pertumbuhan baharu di luar pasaran tradisinya.
Pemaju hartanah itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Property (Kulai) Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan SD Guthrie Bhd bagi memperoleh tanah tersebut di Kulai Estate, Bahagian Kelan.
Sime Darby Property merancang membangunkan tapak berkenaan sebagai perbandaran mampan yang merangkumi pembangunan kediaman bertanah dan komersial, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM3 bilion.
Fasa pertama pembangunan itu disasarkan untuk dilancarkan pada 2028, manakala keseluruhan projek dijangka mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk disiapkan.
Terletak di sepanjang Jalan Kulai-Kota Tinggi dalam Zon Flagship F atau zon Kulai-Sedenak di bawah JS-SEZ, pemerolehan itu menyediakan Sime Darby Property bank tanah berskala besar di salah satu koridor pertumbuhan utama Johor.
Urus niaga itu turut memperluas asas pendapatan kumpulan melangkaui Lembah Klang dan Negeri Sembilan, selain menambah portfolio pembangunan sedia ada di Johor menerusi Bandar Universiti Pagoh dan Taman Pasir Putih di Pasir Gudang.
Perbandaran Bersepadu
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Dato' Seri Azmir Merican berkata, pemerolehan itu merupakan satu lagi langkah strategik dalam usaha kumpulan memperluas kedudukannya di Johor dan menyediakan peluang membangunkan sebuah perbandaran bersepadu dalam JS-SEZ.

“Pemerolehan ini menandakan satu lagi pencapaian strategik bagi Sime Darby Property ketika kami terus mengukuhkan kedudukan di Johor,” katanya.
“Terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang amat dinanti-nantikan, tapak ini menyediakan peluang untuk mewujudkan sebuah perbandaran mampan berasaskan rekod prestasi kami dalam membangunkan komuniti bersepadu dan berkembang maju.”
Azmir berkata, lokasi dan keluasan tanah berkenaan membolehkan kumpulan membangunkan projek yang memenuhi perubahan permintaan pasaran, selain menyokong aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di Johor.
Tapak berkenaan mempunyai akses melalui Lebuhraya Utara-Selatan serta dihubungkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Shuttle Selatan. Ia turut terletak bersebelahan Bandar Putra, sebuah perbandaran bercampur yang telah matang dalam koridor pertumbuhan Senai-Kulai.
Kawasan sekitarnya menempatkan beberapa hab perindustrian dan perniagaan termasuk Senai Airport City, i-Park @ Senai dan Sedenak Tech Park, selain kemudahan seperti Johor Premium Outlets, AEON Mall, Lotus's, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan Palm Resort Golf & Country Club.
Sime Darby Property berkata, pemerolehan itu merupakan sebahagian daripada strategi SHIFT32 bagi memperluas bank tanah strategiknya, mengukuhkan saluran pembangunan jangka panjang dan meningkatkan pendedahan kumpulan kepada lokasi yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi. — DagangNews.com





