Kedah kenal pasti lima lokasi alternatif untuk pembangunan pusat data, Taman Teknologi Tinggi Kulim hanya fokus industri

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 5:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedah kenal pasti lima lokasi alternatif untuk pembangunan pusat data, Taman Teknologi Tinggi Kulim hanya fokus industri Image from: Kedah kenal pasti lima lokasi alternatif untuk pembangunan pusat data, Taman Teknologi Tinggi Kulim hanya fokus industri liza19/11/2026 - 17:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Kerajaan Negeri Kedah tidak menjadikan pelaburan pusat data sebagai keutamaan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), sebaliknya memberi tumpuan kepada pelaburan sektor perindustrian yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri bagaimanapun tidak menolak sepenuhnya pelaburan pusat data, namun setiap cadangan pembangunan perlu mengambil kira penggunaan tanah, air dan bekalan elektrik yang tinggi.

 

Beliau berkata, KHTP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan sektor perindustrian yang mampu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berbanding pembangunan pusat data.

 

"Ini bukan bermakna kita tidak mahu pelaburan pusat data, tetapi di KHTP, keutamaan diberikan kepada pelaburan perindustrian yang boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

 

Lima lokasi alternatif dipertimbangkan

Sanusi berkata, antara kawasan yang boleh dipertimbangkan bagi pembangunan pusat data ialah Bakar Arang, Gurun, Bukit Kayu Hitam, Padang Terap dan Padang Meha.

 

Beliau berkata, pusat data lazimnya hanya menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan yang memberikan kesan lebih kecil terhadap peluang pekerjaan berbanding pelaburan kilang dan sektor pembuatan.

 

Mengulas lanjut kepada pemberita selepas persidangan DUN, beliau berkata, dua syarikat sudah mengemukakan permohonan untuk membangunkan pusat data di KHTP.

 

Bagaimanapun, kerajaan negeri sudah menasihatkan Kulim Technology Park Corporation (KTPC), selaku pengurusan taman teknologi berkenaan, supaya mengenal pasti lokasi alternatif bagi cadangan pembangunan itu.

 

Kapasiti utiliti jadi pertimbangan

Menurut Sanusi, pemilihan lokasi perlu mengambil kira kapasiti dan ketersediaan kemudahan utiliti, termasuk bekalan elektrik, air serta keluasan tanah.

 

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan pembangunan pusat data tidak menjejaskan keperluan sektor lain.

 

“Kerajaan negeri terbuka kepada pelaburan pusat data di lokasi yang bersesuaian, namun kelulusan projek perlu mengambil kira keseimbangan penggunaan sumber dan keperluan pembangunan sektor perindustrian lain,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved