
PENYANYI popular Indonesia Rizky Febian bakal membawa kisah cintanya bersama isteri Mahalini ke pentas menerusi konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kinabalu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 5 Disember ini.
Rizky, 28, berkata konsert sulungnya di Sabah itu akan menampilkan konsep diorama yang menggabungkan penceritaan, visual dan persembahan pentas bagi menggambarkan perjalanan serta besarnya cintanya terhadap isterinya.
RIZKY bakal membawa kisah cintanya bersama isteri Mahalini menerusi konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kinabalu yang akan berlangsung di SICC pada 5 Disember ini.
– Foto IG Rizky FebianMenurutnya, konsep berkenaan dipilih bagi memberikan pengalaman berbeza kepada peminat, selain memastikan kehadirannya di Sabah bukan sekadar untuk menyampaikan lagu.
“Diorama itu sebenarnya ingin menggambarkan dan meringkaskan sebuah kisah. Nanti saya akan membawa satu jalan cerita mengenai betapa besarnya cinta saya kepada isteri.
“Saya akan cuba menyampaikannya menerusi visual, aksi pentas dan penceritaan yang akan dipersembahkan pada konsert nanti,” katanya kepada Hiburan Ekspres.
Rizky ditemui ketika membuat persembahan sempena Big Sabah Sale 2026 di SICC, Sabtu lalu.
Anak kepada pelawak terkenal Indonesia, Sule itu berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi konsert pertamanya di negeri ini didorong sambutan serta sokongan peminat yang diterimanya setiap kali berkunjung ke Kota Kinabalu.
Menurut penyanyi lagu Hingga Tua Bersama itu, dia sudah beberapa kali pernah berkunjung ke Sabah atas urusan festival mahupun peribadi dan menyedari kehadiran ramai peminat yang mengikuti perjalanan seninya di negeri ini.
“Saya sangat teruja apabila mendapat peluang mengadakan konsert buat kali pertama di sini. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sambutan dan semangat yang diberikan peminat di Sabah,” katanya.
Menariknya, konsert itu turut memberi ruang kepada penggiat muzik tempatan apabila beberapa artis Sabah dijangka berkongsi pentas dengannya.
Rizky berkata dia sendiri menyuarakan hasrat kepada pihak penganjur supaya bakat tempatan turut diketengahkan sebagai tanda sokongan sesama penggiat muzik.
“Banyak sekali penyanyi yang cukup berbakat dan luar bias di Sabah dan saya berharap kerjasama ini dapat membuktikan bahawa penggiat seni boleh saling menyokong serta menyediakan platform untuk memajukan industri muzik,” katanya.
RIZKY bersama penganjur dan artis-artis tempatan Sabah selepas mengadakan persembahan sempena Big Sabah Sale 2026 di SICC pada Sabtu lalu.Artis-artis Sabah yang bakal tampil dalam konsert itu termasuk Reynald Guntabid, Elica Paujin, Gretchene dan SMDX.
Selain artis tempatan, konsert berkenaan turut menampilkan isteri tercintanya Mahalini Raharja dan Anggi Marito.
Kepada satu soalan, Rizky turut tidak menolak kemungkinan mengadakan konsert bersama isterinya pada masa akan datang selepas persembahan mereka di Jakarta sebelum ini menerima sambutan positif.
Rizky berkata konsert istimewa bersama Mahalini itu mendapat respons menggalakkan, malah persembahan mereka turut menjadi bualan peminat di Sabah menerusi media sosial.
“Semoga ada peluang untuk saya mengadakan konsert bersama isteri. Siapa tahu, mungkin selepas ini,” katanya.
Rizky yang mendirikan rumah tangga dengan Mahalini pada 2024 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian.
Dia turut berharap dapat meluangkan masa menikmati keindahan Kota Kinabalu bersama keluarga selepas konsert berkenaan sekiranya mempunyai kelapangan.
Mengakhiri temu bual, Rizky mengucapkan terima kasih kepada peminat di Sabah yang sentiasa memberikan sokongan dan berharap dapat bertemu mereka pada 5 Disember ini.






