RM100 Baucar Buku MADANI kembali, 1.18 juta mahasiswa boleh mula tebus esok

LocalSales & Promo
14 Jul 2026 • 4:50 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

RM100 Baucar Buku MADANI kembali, 1.18 juta mahasiswa boleh mula tebus esok

PUTRAJAYA – Seramai 1.18 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara bakal menikmati Baucar Buku MADANI bernilai RM100 seorang apabila penebusan rasmi dibuka bermula 15 Julai ini menerusi portal MySiswaPlace.

Inisiatif diteruskan Kerajaan MADANI itu dijangka memberi manfaat kepada pelajar di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi membantu mengurangkan beban pembelian bahan bacaan serta memperluaskan akses kepada sumber ilmu berkualiti.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelajar yang memenuhi syarat kelayakan boleh mula membuat semakan, menjana dan menebus baucar bermula jam 11 pagi, 15 Julai menerusi portal MySiswaPlace yang dikendalikan Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Menurut KPT, platform digital berkenaan turut membolehkan pelajar membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat.

“Pelajar yang memenuhi syarat kelayakan boleh mula menebus Baucar Buku MADANI bermula 15 Julai 2026 (Rabu), jam 11.00 pagi menerusi portal MySiswaPlace yang membolehkan mereka membuat semakan kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat,” katanya.

KPT turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif yang memberi manfaat kepada lebih sejuta mahasiswa di negara ini.

Menurut kementerian itu, MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan yang menawarkan pelbagai pilihan bahan bacaan.

Antara kategori yang disediakan termasuk buku akademik, buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku dan penerbitan umum bagi menyokong pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan intelektual mahasiswa.

KPT berkata, penerusan Baucar Buku MADANI bukan sahaja membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan sepanjang pengajian, malah merangsang pertumbuhan industri perbukuan negara serta memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan.

“KPT yakin usaha ini akan terus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa, memperkukuh tradisi keilmuan di kampus serta melahirkan graduan yang berpengetahuan, berfikiran kritis, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Sehubungan itu, KPT menyeru semua pelajar yang layak supaya segera menebus Baucar Buku MADANI dan memanfaatkan kemudahan berkenaan sebagai pelaburan terbaik dalam membina ilmu, kemahiran serta masa depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved