RM125.29 juta rugi akibat penipuan dalam talian

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 11:38 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM125.29 juta rugi akibat penipuan dalam talian

PETALING JAYA: Sebanyak RM125.29 juta kerugian membabitkan kes penipuan dalam talian direkodkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) antara januari sehingga April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah tersebut tiga modus operandi direkodkan dengan jumlah kes tertinggi iaitu e-Belian sebanyak 2,405 kes diikuti jenayah telekomunikasi sebanyak 1,026 kes dan pinjaman tidak wujud sebanyak 894 kes.

Katanya, antara punca utama berlakunya jenayah penipuan dalam talian ialah taktik penjenayah yang sentiasa berubah dan semakin canggih, termasuk mengeksploitasi teknologi digital serta menggunakan identiti palsu bagi meyakinkan mangsa.

“Penjenayah memanfaatkan keterbukaan media sosial, aplikasi komunikasi dan platform digital untuk mendekati mangsa dengan lebih mudah dan pantas melalui pelbagai tawaran yang kelihatan sah dan meyakinkan.

“Pada masa yang sama, faktor manusia turut dieksploitasi melalui teknik ‘social engineering’ dengan memanipulasi kepercayaan, emosi, kecuaian serta keinginan mangsa untuk mendapatkan keuntungan atau pulangan yang besar dalam tempoh singkat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tuan Mohd Nadzri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai punca dan jenis utama penipuan dalam talian yang menyumbang kepada 5,944 laporan yang diterima oleh NSRC melalui talian perkhidmatannya setakat bulan April lalu termasuk jumlah kerugian yang dilaporkan dan jumlah wang mangsa yang berjaya disekat atau dipulihkan.

Saifuddin berkata, dalam usaha melindungi mangsa mengalami kerugian, tindakan pantas dilaksanakan bersama institusi kewangan untuk mengesan aliran wang dan membuat sekatan transaksi atau ‘earmark’.

“Susulan tindakan itu, dalam tempoh Januari hingga April lalu, sejumlah RM4,071,805.43 berjaya diselamatkan melalui tindakan earmark, manakala RM5,535,841.10 disita.

“Daripada jumlah wang yang disita itu, sebanyak RM2,569,655.73 atau 46.42 peratus sudah dipulangkan kepada mangsa.

“Justeru, kerajaan melalui NSRC akan terus memperkukuh tindakan bersepadu bersama agensi berkaitan dan institusi kewangan bagi memastikan tindak balas yang lebih pantas terhadap kes penipuan dalam talian.

“Usaha ini akan terus dipertingkatkan bagi menyekat aliran wang hasil penipuan, meningkatkan peluang pemulihan wang mangsa serta memperkukuh keberkesanan tindakan terhadap sindiket yang terbabit,” katanya. – UTUSAN

The post RM125.29 juta rugi akibat penipuan dalam talian appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved