sarah22/10/2026 - 12:01 Foto kredit Facebook Kementerian Dalam Negeri Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Hanya RM2.57 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa penipuan dalam talian daripada keseluruhan kerugian RM125.29 juta yang direkodkan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi tempoh Januari hingga April 2026.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, sebanyak RM5.54 juta telah disita dalam tempoh berkenaan, namun hanya RM2.57 juta atau 46.42% daripada jumlah sitaan itu berjaya dipulangkan kepada mangsa.
Menurut kementerian itu, sejumlah RM4.07 juta lagi berjaya diselamatkan melalui tindakan sekatan transaksi atau 'earmark' yang dilaksanakan bersama institusi kewangan bagi menghalang wang mangsa daripada dipindahkan kepada penjenayah.
"Bagi tempoh Januari hingga April 2026, sejumlah RM4,071,805.43 telah berjaya diselamatkan melalui tindakan earmark, manakala RM5,535,841.10 telah disita.
"Daripada jumlah wang yang disita tersebut, sebanyak RM2,569,655.73 atau 46.42% telah dipulangkan kepada mangsa," menurut KDN dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok).
Beliau meminta kementerian memperincikan punca dan jenis utama penipuan dalam talian yang menyumbang kepada 5,944 laporan diterima NSRC setakat April 2026, termasuk jumlah kerugian serta wang mangsa yang berjaya disekat atau dipulihkan.
KDN berkata, daripada enam modus operandi utama yang dikenal pasti, penipuan pembelian dalam talian atau e-Belian mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 2,405 kes, diikuti jenayah telekomunikasi sebanyak 1,026 kes dan pinjaman tidak wujud sebanyak 894 kes.
Menurut kementerian itu, peningkatan kerumitan jenayah penipuan dalam talian didorong perubahan taktik penjenayah yang semakin canggih, termasuk penggunaan identiti palsu, eksploitasi teknologi digital serta penyalahgunaan media sosial dan aplikasi komunikasi untuk memperdaya mangsa.
Penjenayah turut menggunakan teknik manipulasi psikologi atau *social engineering* dengan mengeksploitasi kepercayaan, emosi dan kecuaian mangsa, selain menawarkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat bagi meyakinkan mereka.
KDN menjelaskan, sifat jenayah yang merentas sempadan turut menyukarkan usaha membanteras kegiatan itu apabila sindiket beroperasi dari luar negara menggunakan identiti, akaun dan infrastruktur digital merentasi pelbagai bidang kuasa.
Sehubungan itu, kerajaan melalui NSRC akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan institusi kewangan bagi mempercepat tindakan menyekat aliran wang hasil penipuan, meningkatkan peluang pemulihan wang mangsa serta mempertingkat keberkesanan tindakan terhadap sindiket terbabit. - DagangNews.com






