RM15.5 bilion dipulihkan hasil kerjasama institusi kewangan

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 9:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RM15.5 bilion dipulihkan hasil kerjasama institusi kewangan
Azam Baki ketika Program CONG Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Tahun 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16, di sini pada Khamis.

 

PUTRAJAYA – Sebanyak RM15.5 bilion dipulihkan dalam tempoh lima tahun sehingga Februari 2026 melalui pelbagai operasi berprofil tinggi menerusi Program Compliance Officers Networking Group (CONG).

Kejayaan ini sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik dalam membanteras rasuah dan penyelewengan kewangan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan itu hasil penguatkuasaan serta perkongsian data dan risikan kewangan yang diperkukuh bersama institusi kewangan.

"Hasil penguatkuasaan serta kerjasama berasaskan data dan risikan, sebanyak RM15.5 bilion telah berjaya dipulihkan dalam tempoh lima tahun sehingga Februari 2026 melalui pelbagai operasi berprofil tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program CONG Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Tahun 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16, di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerjasama antara SPRM, institusi kewangan dan Bank Negara Malaysia menjadi platform penting dalam mempertingkat keupayaan risikan kewangan khususnya berkaitan pengubahan wang haram.

"Malaysia kekal komited untuk memperkukuh rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan selaras dengan piawaian antarabangsa di bawah Financial Action Task Force,” katanya.

Tambah beliau, susulan proses Mutual Evaluation Exercise (MEE), Malaysia kini berada dalam fasa pemantauan berkala yang menuntut penambahbaikan berterusan dari segi keberkesanan penguatkuasaan, pendakwaan serta hasil siasatan kewangan.

Dalam pada itu, Azam menegaskan institusi kewangan perlu memperkukuh proses ketekunan wajar termasuk meneliti struktur pemilikan kompleks serta memantau transaksi melibatkan individu berprofil tinggi atau Politically Exposed Persons (PEPs).

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang aktiviti mencurigakan dapat dikesan lebih awal dan mengelakkan ketirisan serta salah guna sistem kewangan.

Beliau turut menggesa pelaksanaan program pembangunan kapasiti yang lebih tersusun termasuk latihan berasaskan kes sebenar serta peningkatan keupayaan analisis kewangan dan penggunaan teknologi.

"Usaha ini penting bagi memastikan pegawai pematuhan sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu dalam landskap jenayah kewangan yang semakin kompleks,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azam turut merakamkan penghargaan kepada institusi kewangan atas kerjasama berterusan, khususnya dalam penyaluran maklumat, analisis transaksi kompleks serta sokongan sepanjang proses siasatan.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi CONG, Faradina Mohammad Ghouse berharap kerjasama strategik itu dapat diperkukuh melalui pendekatan lebih proaktif bagi menjayakan pelbagai inisiatif pada masa hadapan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Norhaizam Muhammad.