INSIDEN sekumpulan aktivis mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM baru-baru ini memang mencuri perhatian ramai.
Jarang kita dengar perkara seperti ini berlaku dalam majlis rasmi apatah lagi melibatkan tetamu kehormat. Kalau ada pun biasanya dalam suasana politik yang lebih ‘panas’. Tapi kali ini memang lain macam.
Mungkin ada yang melihat tindakan aktivis tersebut sebagai ‘berani’ malah mengangkat mereka sebagai simbol perjuangan integriti. Namun keberanian sahaja tidak cukup untuk menghalalkan sesuatu tindakan. Dalam apa jua keadaan, adab tetap perlu dijaga.
Majlis seperti forum, ceramah atau ucapan rasmi adalah ruang untuk berkongsi pandangan secara tersusun.
Bila ada yang tampil dengan plakad dan mencelah tanpa cara yang betul, suasana jadi kurang selesa dan mesej yang mahu disampaikan pun boleh terganggu.
Merak Jalanan bukanlah tidak menyokong anak-anak muda lantang bersuara tentang isu salah guna kuasa.
Semangat itu memang penting tetapi cara penyampaian juga perlu bijak supaya tidak melanggar undang-undang yang akhirnya memakan diri sendiri.
Kalau benar mahu menyatakan bantahan, masih banyak saluran yang lebih sesuai seperti forum terbuka, sidang akhbar atau perhimpunan aman di tempat yang dibenarkan. Ini lebih teratur dan mesej pun sampai dengan lebih jelas.
Kebebasan bersuara memang hak semua tetapi tetap ada batasnya. Jika melibatkan gangguan atau provokasi, pihak berkuasa tidak boleh dipersalahkan jika mengambil tindakan sewajarnya.
Merak Jalanan bimbang sekiranya budaya mengganggu majlis seperti ini dibiarkan dan dinormalisasikan, ia boleh membuka ruang kepada lebih banyak kekacauan dalam program-program rasmi pada masa hadapan.
