RM2.1 bilion hampir habis, KKDW perlu RM4 bilion setahun

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 9:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM2.1 bilion hampir habis, KKDW perlu RM4 bilion setahun

PETALING JAYA – Peruntukan RM2.107 bilion bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB) tahun ini hampir habis dibelanjakan apabila 94 peratus atau kira-kira RM1.995 bilion sudah digunakan setakat semalam.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam kenyataan memberitahu, jumlah itu meliputi sebanyak 415 projek JALB dilaksanakan di seluruh negara setakat 1 September lalu, sekali gus menunjukkan tahap pelaksanaan projek yang aktif.

Menurutnya, berdasarkan komitmen semasa keperluan peruntukan dianggarkan sekitar RM4 bilion setahun bagi memastikan pelaksanaannya tidak terganggu dan dapat diteruskan mengikut jadual.

Katanya, projek JALB dilaksanakan secara berperingkat dengan sebahagiannya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

“Justeru, peruntukan yang disediakan setiap tahun perlu mengambil kira projek yang sedang berjalan serta projek baharu yang telah diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, KKDW menghargai kelulusan tambahan RM300 juta daripada Kementerian Kewangan bagi membantu memenuhi keperluan semasa pelaksanaan projek JALB.

“Keutamaan akan diberikan kepada kesinambungan projek yang sedang dilaksanakan supaya manfaat pembangunan dapat sampai kepada masyarakat seperti dirancang,” katanya.

Menurutnya, pembangunan jalan luar bandar bukan sekadar membabitkan pembinaan fizikal, sebaliknya mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan seharian penduduk.

Kemudahan jalan yang baik antaranya memudahkan anak-anak ke sekolah, penduduk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik serta membantu petani membawa hasil mereka ke pasaran.

Pada masa sama, KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan agensi berkaitan bagi menyelaraskan perancangan projek serta keperluan peruntukan secara lebih berkesan dan mampan.

“Keutamaan KKDW kekal kepada rakyat iaitu memastikan pembangunan luar bandar dapat diteruskan, kemudahan asas dipertingkatkan dan manfaatnya sampai kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post RM2.1 bilion hampir habis, KKDW perlu RM4 bilion setahun appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved