RM21.72 juta untuk baiki, naik taraf Hospital Duchess of Kent tahun ini

LocalHealth & Fitness
21 Aug 2025 • 1:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan menerima peruntukan sebanyak RM21.72 juta tahun ini bagi kerja-kerja pembaikan struktur bangunan lama serta peningkatan sistem keselamatan kebakaran di wad lama dan wad bersalin.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata projek berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang telah melakukan beberapa lawatan tapak, manakala perbincangan rentas agensi akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Beliau berkata, kementerian turut menyediakan pelan pengurusan sementara bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu sepanjang tempoh pembaikan, termasuk pemindahan sebahagian perkhidmatan ke bangunan modular sementara, menambah katil di wad sedia ada, serta memindahkan pesakit stabil ke Hospital Kinabatangan dan Hospital Beluran.

Selain itu, kementerian juga menyewa premis luar untuk menampung sebahagian rawatan pesakit luar dan materniti.

Dzulkefly turut memaklumkan bahawa pembinaan blok baharu HDOK telah diluluskan di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 RP5).

“Kementerian telah menyiapkan Schedule of Accommodation pada Julai lalu, dan Value Management Assessment akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini untuk memuktamadkan reka bentuk serta kos sebenar projek,” katanya.

Menurutnya, blok baharu itu bakal menambah 594 katil, 94 bilik klinikal, 15 dewan bedah moden, serta pelbagai subkepakaran seperti pembedahan, ortopedik, pediatrik, kardiologi, obstetrik dan ginekologi, onkologi, psikiatri serta rehabilitasi perubatan.

Ia juga akan menempatkan unit rawatan kritikal seperti Unit Rawatan Rapi, Wad Unit Bergantung Tinggi, Wad Rawatan Koronari, Unit Rawatan Rapi Pediatrik dan Unit Rawatan Kebakaran.

“Apabila siap, jumlah katil di HDOK akan meningkat hampir kepada 1,000 katil, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai hospital rujukan utama di Pantai Timur Sabah. Maka, keperluan untuk membina sebuah lagi hospital di kawasan ini tidak lagi mendesak,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, mengemukakan pertanyaan mengenai status naik taraf HDOK tersebut kepada Menteri Kesihatan semasa sidang Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Vivian berkata HDOK berdepan kesesakan wad dan kemudahan uzur meskipun menjadi pusat rujukan utama di Pantai Timur Sabah.