hamden19/08/2026 - 11:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos - Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) berdepan risiko kehilangan kira-kira RM3.4 juta keuntungan selepas cukai (PAT) perlombongan bagi setiap minggu susulan penggantungan sementara operasi anak syarikatnya, Rahman Hydraulic Tin (RHT), menurut JF Apex Securities Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek kumpulan dan mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran RM3.06.
RHT, yang dimiliki 80% oleh MSC, diarahkan Jabatan Mineral dan Geosains Perak (JMG Perak) menggantung operasi perlombongan berkuat kuasa 12 Ogos 2026 sehingga notis lanjut.
Penggantungan itu susulan pemeriksaan tapak selepas kejadian hujan lebat luar biasa pada 3 Ogos 2026, apabila kira-kira 60mm hujan direkodkan dalam tempoh sejam, melebihi intensiti reka bentuk 50mm bagi infrastruktur saliran dan kolam takungan RHT.
Keadaan tersebut menyebabkan kerosakan kepada beberapa kemudahan saliran selain kolam takungan tidak mampu menampung aliran air, sekali gus memaksa operasi perlombongan dihentikan sementara.
RHT kini menjalankan kerja pembaikan dan naik taraf serta sedang berunding dengan JMG Perak berhubung pelan tindakan pemulihan.
Bagaimanapun, tiada tempoh indikatif penyambungan semula operasi diberikan setakat ini, menyebabkan tempoh gangguan dan kesan kewangan sebenar masih belum dapat ditentukan.
Risiko kerugian RM3.4 juta seminggu
JF Apex menganggarkan setiap minggu penggantungan boleh mengurangkan PAT perlombongan MSC sekitar RM3.4 juta sebelum kepentingan tanpa kawalan (NCI), berdasarkan PAT perlombongan 2QFY26 sebanyak RM44.1 juta.
Berdasarkan asas boleh agih dan pegangan 80% MSC dalam RHT, kesannya dianggarkan sekitar RM2.7 juta seminggu.
Sebagai gambaran, sekiranya operasi RHT digantung selama tiga minggu seperti gangguan sebelumnya, MSC berpotensi mengalami pengurangan sekitar RM10 juta dalam PAT perlombongan sebelum NCI, atau kira-kira RM8 juta berdasarkan asas boleh agih.
Namun, JF Apex menegaskan bahawa angka tersebut merupakan analisis sensitiviti berdasarkan kadar operasi semasa dan impak sebenar bergantung kepada tempoh penggantungan serta faktor mitigasi lain.
Prospek MSC masih dipertahankan
Walaupun gangguan operasi perlombongan menjejaskan keterlihatan pendapatan jangka pendek, JF Apex tidak mengubah unjuran pendapatan MSC bagi FY26F hingga FY28F buat masa ini.
Firma penyelidikan itu berkata tempoh penggantungan masih tidak diketahui dan pihak pengurusan juga memaklumkan bahawa kesan kewangan ketika ini belum dapat ditentukan.
Lebih penting, operasi peleburan bijih timah MSC di Pulau Indah tidak terjejas dan terus beroperasi seperti biasa, sekali gus memberikan kesinambungan kepada aktiviti perniagaan kumpulan walaupun segmen perlombongan berdepan gangguan.
Sehubungan itu JF Apex mengekalkan saranan BELI dan harga sasaran (TP) RM3.06, berdasarkan 13 kali EPS FY27F sebanyak 23.5 sen.
Pada harga semasa RM1.94, saham MSC didagangkan pada 12.5 kali unjuran pendapatan FY26F dan 7.7 kali FY27F. - DagangNews.com



