Malaysia Smelting catat lonjakan untung bersih 255% kepada RM77 juta pada 1HFY26

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Smelting catat lonjakan untung bersih 255% kepada RM77 juta pada 1HFY26 Image from: Malaysia Smelting catat lonjakan untung bersih 255% kepada RM77 juta pada 1HFY26 hamden12/08/2026 - 17:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Harga timah yang kekal tinggi serta peningkatan prestasi segmen perlombongan dan peleburan mendorong Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) mencatatkan lonjakan 255.1% keuntungan bersih kepada RM77 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26).

 

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, prestasi itu disokong permintaan global timah yang kekal kukuh, selain bekalan yang semakin ketat di negara pengeluar utama seperti Indonesia, Myanmar dan Republik Demokratik Congo (DRC). 

 

Bagi 1HFY26, hasil MSC meningkat kepada RM1.09 bilion daripada RM748.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong jumlah jualan timah ditapis yang lebih tinggi serta harga purata timah meningkat kepada RM200,700 setan metrik daripada RM140,900 setan metrik.

 

Bagi suku kedua (2QFY26), hasil melonjak 68.2% tahun ke tahun kepada RM637.3 juta, manakala keuntungan bersih lebih dua kali ganda kepada RM34 juta daripada RM13.9 juta.

 

Pertumbuhan suku tersebut didorong peningkatan 44.7% dalam jumlah jualan timah ditapis serta kenaikan 49.1% harga purata timah kepada RM208,400 setan metrik.

 

Perlombongan Timah Kekal Penyumbang Utama

Segmen perlombongan timah kekal sebagai penyumbang keuntungan terbesar MSC apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM59.1 juta pada 2QFY26 daripada RM29.1 juta setahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu disokong jumlah pengeluaran timah yang lebih tinggi serta harga purata timah yang lebih kukuh.

 

Sementara itu, segmen peleburan timah kembali mencatatkan keuntungan dengan PBT RM3.8 juta, berbanding kerugian sebelum cukai RM9.6 juta pada 2QFY25.

 

Pemulihan itu didorong keuntungan lebih tinggi daripada jualan dan penukaran kepada tunai bahan perantaraan timah, selain penjimatan kos selepas penutupan kilang Butterworth.

 

Bagaimanapun, prestasi tersebut sebahagiannya terjejas akibat kerugian pertukaran asing sebanyak RM4.6 juta.

 

Permintaan Tinggi, Penutupan Kilang Butterworth 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama MSC, Nicolas Chen Seong Lee, berkata harga timah kekal tinggi susulan keadaan bekalan yang semakin ketat di negara pengeluar utama.

 

Pada masa sama, permintaan global terhadap timah kekal berdaya tahan, disokong pertumbuhan struktur dalam kecerdasan buatan (AI), pusat data, semikonduktor, panel fotovoltaik serta teknologi peralihan tenaga.

 

"Seiring perkembangan ini, kami akan terus meningkatkan kecekapan operasi dalam segmen perlombongan dan peleburan, selain mengekalkan pengurusan kos yang berhemat," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama MSC, Lam Hoi Khong, berkata selepas penutupan kilang Butterworth, aktiviti peleburan timah Kumpulan kini disatukan sepenuhnya di kemudahan Pulau Indah yang lebih moden dan cekap.

 

Selain kecekapan operasi lebih baik, kemudahan itu turut mempunyai jejak karbon lebih rendah menerusi penggunaan gas asli dan tenaga boleh diperbaharui yang dijana daripada panel solar atas bumbung.

 

Bagi segmen perlombongan, Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran dan produktiviti, memperbaiki kadar pemulihan timah daripada bahan berkadar rendah serta menilai peluang usaha sama perlombongan yang bersesuaian.

 

Untung Suku Kedua Susut QoQ

Secara suku ke suku, hasil MSC meningkat kepada RM637.3 juta pada 2QFY26 daripada RM457 juta pada 1QFY26, disokong jumlah jualan timah ditapis dan harga purata timah yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih susut kepada RM34 juta daripada RM42.9 juta, susulan PBT segmen peleburan yang lebih rendah pada RM3.8 juta berbanding RM15.5 juta pada suku sebelumnya.

 

Penurunan itu berpunca daripada jualan dan penukaran kepada tunai bahan perantaraan timah yang lebih rendah serta kerugian pertukaran asing RM4.6 juta.

 

Kesan tersebut sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih kukuh segmen perlombongan timah yang mencatatkan PBT RM59.1 juta berbanding RM55.2 juta pada 1QFY26. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved