
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini (5 Oktober) tampil mengulas berhubung kritikan dan desakan orang ramai yang memintanya untuk meletakkan jawatan susulan keputusan kerajaan menggantung perkhidmatan pembayaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh pemungut hasil, MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd.
Menurutnya, keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ itu adalah berdasarkan fakta berhubung tunggakan hasil kerajaan, bukannya dipengaruhi sebarang pertimbangan politik.
“Yang Tak Bayar Syarikat, Yang Diminta Ambil Tindakan Ialah Menteri” – Loke
Malah beliau juga menyifatkan desakan meletakkan jawatan adalah tidak logik.
“Yang tak bayar syarikat, yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?” soalnya.
Menerusi satu sidang akhbar hari ini, Loke menambah, “Saya pun hairan. Cepat-cepat minta saya letak jawatan pula. Yang tak bayar, syarikat!”
MYEG & Zetrix AL Belum Bayar Tunggakan Hasil Kerajaan Berjumlah RM314 Juta
Pada minggu lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dalam satu kenyataan memaklumkan MYEG dan Zetrix AL digantung berkuat kuasa 5 Oktober.
Keputusan itu diambil selepas mengambil kira pematuhan syarikat terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat-syarikat terbabit.
Memetik Sinar Harian, Kementerian Pengangkutan mendedahkan jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.
Ia melibatkan kutipan hasil kerajaan yang belum dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.
MYEG Bertanggungjawab Pindahkan Kutipan Hasil Kerajaan Secara Harian
Sebagai info, MYEG telah dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak tahun 2000.
Syarikat tersebut bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian mengikut ketetapan satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan.
Kerajaan Sudah Beri Peluang MYEG Langsaikan Tunggakan – Loke
Jelas Loke, pihak kerajaan telah pun memberi peluang kepada syarikat itu untuk menyelesaikan tunggakan tersebut termasuk mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Cek Nilai RM231 Juta Oleh MYEG Tidak Diproses Bank, Jadi Punca Syarikat Digantung
Pun begitu menurutnya, penggantungan terpaksa dilakukan selepas cek bernilai RM231 juta yang diserahkan syarikat tidak diproses pihak bank susulan arahan syarikat tersebut ketika cek itu dikreditkan pada 30 September lalu.
“Jadi kita tak ada pilihan. Tidak ada apa-apa alasan yang boleh diberikan oleh pihak syarikat. Ini tanggungjawab dan obligasi.
“Mereka hanya adalah ejen pemungut cukai. Ini bukan wang mereka, ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ,” katanya.
Sementara itu, Loke menjelaskan bahawa perkhidmatan akan dipertimbang untuk dibuka semula selepas keseluruhan tunggakan dilangsaikan syarikat berkenaan.
Kerajaan Ada Klausa Penamatan Kontrak, Tidak Perlu Bayar Pampasan – Loke
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan mempunyai klausa penamatan kontrak dan tidak perlu membayar pampasan sekiranya kontrak itu ditamatkan.
“Mereka berhutang kita lebih daripada RM300 juta sekarang. Jadi tak ada soal pampasan kepada mereka,” katanya.






