
BEAUFORT: Penantian masyarakat Islam di Kampung Kukub sejak sekian lama untuk beribadah di ruang lebih luas dan selesa tercapai menerusi projek pembinaan masjid baharu di kawasan itu.
Wakil rakyat Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk projek itu yang telah pun bermula dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini.
“Peruntukan yang disalurkan dibahagikan kepada dua fasa manakala pembinaannya dilaksanakan di atas satu tanah wakaf penduduk seluas setengah ekar bagi menggantikan surau lama yang sudah usang.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Masjid baharu ini berkeluasan 40 kaki x 50 kaki dan sebaik siap, ia akan dilengkapi kemudahan asas lengkap seterusnya mampu menampung sehingga lebih 100 jemaah dalam satu masa.
“Dijangka projek ini dijadualkan siap hujung tahun ini namun bergantung kepada situasi cuaca memandangkan kawasan ini sering dilanda banjir,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Masjid Kampung Kukub, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi merangkap Imam Surau Kampung Kukub, Tahir Basin ketika ditemui menzahirkan kegembiraan dengan projek pembinaan masjid baharu itu.
Katanya, penduduk telah menantikan kemudahan itu sejak 13 tahun lamanya menerusi pelbagai usaha dan permohonan sebelum ini hingga akhirnya di bawah kepimpinan Ruslan, impian itu tercapai.
“Masjid ini penting bagi menggantikan surau lama yang bukan saja terhad tetapi juga daif setelah dibina hampir 40 tahun lalu, malah hanya mampu menampung sekitar 60 orang jemaah saja dalam satu masa.
“Justeru, syukur ke hadrat Allah SWT dan terima kasih kerajaan negeri khususnya Datuk Ruslan yang sebelum menjadi wakil rakyat lagi telah menyumbang kewangan untuk menimbun tanah bagi tapak masjid ini enam tahun lalu.
“Beliau mulakan usaha murni ini sebelumnya, beliau juga yang merealisasikan impian penduduk menerusi pembinaan Masjid Kampung Kukub agar kami dapat beribadah dengan lebih selesa,” katanya.
Terdahulu, Ruslan turut menyumbangkan dua kanopi dan 100 kerusi masing-masing kepada Surau Kampung Kukub, Surau Kampung Berumbai dan Surau Kampung Kangsa di majlis itu.


