RM579.2 juta pembiayaan disalurkan kepada usahawan di Sabah sejak tahun 2022 - KUSKOP

12/09/2025 - 11:15
Antara usahawan yang menerima pembiayaan dari TEKUN di Sabah Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Sept – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM579.2 juta dalam bentuk pinjaman dan geran kepada usahawan di Negeri Sabah sejak tahun 2022 hingga 31 Julai 2025.
Kementerian itu berkata, daripada jumlah tersebut, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan bantuan pembiayaan berjumlah RM548.12 juta melibatkan pelbagai skim pembiayaan.
“Ini memberi manfaat kepada seramai 26,166 usahawan di negeri Sabah dari tahun 2022 sehingga Julai 2025.
“Ia melibatkan sektor peruncitan, pertanian dan perusahaan asas tani, perkhidmatan, pembuatan dan kontraktor kecil,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Penjelasan itu dibuat untuk menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin tahu berapa jumlah geran dan pinjaman yang telah disalurkan kepada usahawan Sabah melalui TEKUN, MARA dan SME Corp dari tahun 2022 mengikut lokaliti dan sektor industri.
Selain itu, kementerian berkata, SME Corp pula telah meluluskan bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM31.08 juta kepada seramai 1,844 usahawan di negeri Sabah.
“Ia disalurkan dari tahun 2022 sehingga 31 Julai 2025 melalui pelbagai program seperti Program Business Accelerator (BAP), Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) dan juga termasuk Program BEEP PLUS serta Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizMe).
“Usahawan di bawah program SME Corp ini melibatkan pelbagai sektor dengan majoritinya melibatkan sektor perkhidmatan,” kata kementerian.
Selain itu, MARA yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyalurkan pembiayaan berjumlah RM111 juta kepada 1,192 usahawan di negeri Sabah dalam tempoh yang sama.
“Kebanyakannya melibatkan industri makanan dan minuman, perkhidmatan, pembinaan dan juga automotif,” kata kementerian.- DagangNews.com
standard

