RM757 juta untuk sukan negara

10 Oct 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM757 juta untuk sukan negara

PETALING JAYA:  Kerajaan memperuntukkan dana RM757 juta bagi pembangunan sukan negara dan persiapan penganjuran Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027, dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan dan melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, RM460 juta disediakan bagi pembangunan sukan negara, manakala RM240 juta diperuntukkan untuk persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

“Kita meraikan kejayaan kontinjen Malaysia bagi Sukan Asia Aichi-Nagoya yang merangkul sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa. Kepada semua atlet, jurulatih dan petugas, tahniah dan terima kasih kerana mengharumkan nama negara. 

“Tahun hadapan, kita akan kembali menyambut negara tetangga selaku tuan rumah bagi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

“Temasya gemilang ini harus dimanfaat untuk mengangkat wibawa negara dan membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, peruntukan  RM240 juta disediakan untuk tujuan persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan pembangunan sukan negara merangkumi usaha memperkasa program sukan berprestasi tinggi dan Road to Gold, program pembangunan atlet para serta atlet Sukan Orang Pekak, selain penyelenggaraan fasiliti sukan di seluruh negara.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk penyediaan Geran Padanan Sukan bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan, kelab dan NGO. 

“Peruntukan bagi aktiviti sukan murid sekolah turut ditambah 50 peratus kepada 27 juta ringgit. Ini bakal memanfaat lebih 4.6 juta murid di 10 ribu sekolah seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika memulakan pembentangan Belanjawan 2027 dengan merakamkan penghargaan terhadap setiap individu yang menjayakan penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang, minggu lalu.

Katanya, penganjuran itu berjaya dianjurkan dengan tertib dan jayanya, hasil sokongan dan kerjasama erat antara petugas F1, sukarelawan dan penjawat awam.

“Ianya menunjukkan bila kita dapat bergabung tenaga, dengan semangat segulai sejalai, Malaysia mampu berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan memperuntukkan RM580 juta dalam Belanjawan 2026 untuk pemangkin pelaksanaan program pembangunan atlet bagi memperkukuh pembangunan sukan negara. – UTUSAN

The post RM757 juta untuk sukan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved