
TEMERLOH – Polis menahan seorang pembantu sebuah taska di Mentakab di sini bagi membantu siasatan berkaitan kes kekasaran terhadap seorang kanak-kanak di sebuah Taska di Mentakab di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, wanita berusia 25 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh semalam.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Wanita berkenaan ditahan reman selama enam hari bermula hari ini,”katanya di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang wanita yang tular melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sekolah di sini kelmarin.
Mohd. Nasyim dilaporkan berkata, siasatan dibuka selepas satu laporan polis diterima daripada seorang wanita berusia 29 tahun yang merupakan ibu kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang menjadi mangsa dalam kejadian itu petang kelmarin.
Sabtu lalu tular dalam media sosial rakaman video berdurasi 22 saat yang menyaksikan seorang wanita memarahi dan menyentuh seorang kanak-kanak yang sedang menangis.
Kejadian turut disaksikan dua lagi wanita yang difahamkan menjaga dua lagi kanak-kanak yang dihantar ke Taska berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Polis tahan pembantu taska bantu siasatan kasari kanak-kanak appeared first on Kosmo Digital.






