RM807.5 Juta Diperuntuk Bina 2,102 Bilik Darjah Tambahan Seluruh Negara

19 Aug 2026 • 1:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

RM807.5 Juta Diperuntuk Bina 2,102 Bilik Darjah Tambahan Seluruh Negara

Sebanyak RM807.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 681 projek pembinaan 2,102 bilik darjah tambahan di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pertambahan murid Tahun 1 untuk sesi Kalendar Akademik 2027.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, daripada jumlah itu, RM668 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 524 projek melibatkan pembinaan 1,780 bilik darjah tambahan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut KPM, projek berkenaan merangkumi 1,255 bilik darjah aliran perdana dan 525 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Katanya, pembinaan itu bertujuan menampung pertambahan sebanyak 43,925 murid aliran perdana dan 5,250 murid aliran PPKI.

“KPM melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut melaksanakan 84 projek melibatkan pembinaan 210 bilik darjah tambahan yang merangkumi 140 bilik darjah aliran perdana dan 70 bilik darjah PPKI.

“Anggaran kos sebanyak RM81.5 juta bagi menampung pertambahan sebanyak 4,900 murid aliran perdana dan 700 murid aliran PPKI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPM berkata, sebanyak 73 projek turut dilaksanakan membabitkan pembinaan 112 bilik darjah tambahan, terdiri daripada 92 bilik darjah aliran perdana dan 20 bilik darjah PPKI.

Baca juga:

Jelasnya, projek berkenaan melibatkan anggaran kos sebanyak RM58 juta bagi menampung pertambahan 3,920 murid aliran perdana dan 200 murid aliran PPKI.

“Terkini, beberapa projek telah berjaya disiapkan mendahului jadual termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, SK Banggol Peradong dan SK Kampong Tengah di Terengganu.

“Projek lain dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat menjelang Disember 2026 bagi persediaan menerima pertambahan murid Tahun 1 pada sesi akademik akan datang,” katanya.

Menurut KPM, pembinaan bilik darjah tambahan yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara mencerminkan komitmen kerajaan terhadap agenda pendidikan negara.

Jelasnya, langkah berkenaan turut bertujuan memastikan pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 dapat berjalan lancar seperti yang dirancang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved