
PETALING JAYA – Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM808 juta bagi 681 projek pembinaan 2,102 bilik darjah tambahan di sekolah seluruh negara bagi memenuhi keperluan tambahan murid tahun satu bagi sesi Kalendar Akademik 2027.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklukan, Jabatan Kerja Raya (JKR) selalu agensi pelaksana sedang giat melaksanakan projek pembinaan tersebut.
Daripada jumlah peruntukan ini, sebanyak RM668 juta diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan 524 projek melibatkan pembinaan sebanyak 1,780 bilik darjah tambahan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ia merangkumi pembinaan 1,255 bilik darjah aliran perdana dan 525 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi menampung pertambahan sebanyak 43,925 murid aliran perdana dan 5,250 murid aliran PPKI.
“KPM melalui JKR Sarawak turut melaksanakan 84 projek di Sarawak melibatkan pembinaan 210 bilik darjah tambahan merangkumi 140 bilik darjah aliran perdana dan 70 bilik darjah PPKI.
“Ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM81.5 juta bagi menampung pertambahan sebanyak 4,900 murid aliran perdana dan 700 murid aliran PPKI,” menurut KPM hari ini.
Di Sabah pula, KPM melaksanakan 73 projek melibatkan pembinaan 112 bilik darjah tambahan merangkumi 92 bilik darjah perdana dan 20 bilik darjah PPKI dengan anggaran kos sebanyak RM58 juta bagi menampung pertambahan sebanyak 3,920 murid aliran perdana dan 200 murid aliran PPKI.
“Terkini, beberapa projek berjaya disiapkan mendahului jadual termasuk SK Durian Mas, SK Banggol Peradong dan SK Kampong Tengah di Terengganu.
“Projek lain dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat menjelang bulan Disember 2026 untuk persediaan menerima pertambahan murid tahun satu pada sesi akademik akan datang,” katanya.
Pembinaan projek bilik darjah tambahan yang sedang giat berjalan di seluruh negara adalah cerminan komitmen jitu kerajaan terhadap agenda pendidikan negara dan bagi memastikan pelaksanaan kemasukan murid umur enam tahun ke tahun satu berjalan lancar seperti dirancang. – KOSMO! ONLINE
The post Peruntukan RM808 juta bina 681 projek bilik darjah tambahan appeared first on Kosmo Digital.






