RM93.4 bilion simpanan Tabung Haji dijamin kerajaan meskipun dibayangi isu pelaburan bermasalah - Menteri Agama

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RM93.4 bilion simpanan Tabung Haji dijamin kerajaan meskipun dibayangi isu pelaburan bermasalah - Menteri Agama Image from: RM93.4 bilion simpanan Tabung Haji dijamin kerajaan meskipun dibayangi isu pelaburan bermasalah - Menteri Agama sarah30/10/2026 - 11:06 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Kerajaan memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Tabung Haji 1995, susulan persoalan mengenai keselamatan dana RM93.4 bilion selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) meneliti pelaburan bermasalah institusi itu.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata, jaminan kerajaan terhadap simpanan patuh syariah itu merupakan ciri penting dalam memastikan keyakinan umat Islam untuk terus menyimpan bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

 

“Simpanan patuh syariah yang dijamin Kerajaan adalah satu nilai unik bagi memberikan keyakinan kepada umat Islam negara menyimpan di Tabung Haji (TH) untuk tujuan menunaikan haji,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

 

Pendapatan pelaburan tertinggi dalam lapan tahun

Zulkifli berkata, TH telah menstruktur semula portfolio pelaburannya berdasarkan pengurusan risiko berhemah serta memberi tumpuan kepada pelaburan mampan dan berkualiti, sekali gus membolehkan jumlah aset kekal melebihi liabiliti pada setiap akhir tahun sejak 2018.

 

Menurutnya, langkah itu turut menyaksikan TH mencatat pendapatan pelaburan RM4.64 bilion pada 2025, paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun, selain membina semula rizab bagi memastikan kestabilan dan kemampanan dana pendeposit.

 

Beliau menegaskan, TH kekal komited menjaga kepentingan lebih 9.8 juta pendeposit serta memelihara keyakinan mereka terhadap pengurusan simpanan haji.

 

Kerugian RM12.6 bilion ditangani, empat syor RCI masih dalam tindakan

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, TH telah mengambil langkah menangani kerugian pelaburan sekitar RM12.6 bilion melalui pelan pemulihan dan penstrukturan semula yang dilaksanakan sejak 2018.

 

Menurutnya, hampir RM10 bilion daripada jumlah itu telah ditangani menerusi Pelan Pemulihan 2018, manakala baki kira-kira RM2.6 bilion ditangani secara berperingkat sehingga akhir 2025.

 

Azalina berkata, TH juga telah melaksanakan 13 daripada 17 syor RCI di bawah tanggungjawabnya, bersamaan 76%, sementara empat lagi masih dalam tindakan, khususnya berkaitan pindaan Akta Tabung Haji 1995, peraturan tatatertib serta skop kawal selia Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

 

Beliau menjelaskan, keseluruhan 25 syor RCI turut merangkumi lapan syor di bawah tanggungjawab pihak lain, termasuk Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan pihak berkuasa berkaitan, antaranya melibatkan struktur sukuk, penebusan awal serta tindakan penguatkuasaan.

 

Berhubung akauntabiliti, Azalina menegaskan bahawa sebarang kelemahan tadbir urus atau pelanggaran undang-undang perlu ditangani berdasarkan bukti dan proses sewajarnya, dengan pendakwaan jenayah dilaksanakan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak.

 

Dalam jawapan bertulis kepada Datuk Awang Hashim (Pendang), beliau turut memaklumkan TH telah melantik firma perakaunan Ernst & Young dan PricewaterhouseCoopers serta beberapa firma guaman untuk menjalankan analisis jurang dan mencadangkan penambahbaikan terhadap pelaburan bermasalah yang dibangkitkan RCI.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved