
KUALA LUMPUR – Kehadiran jaguh muay thai antarabangsa, Rodtang jitmuangnon menjadi tumpuan pada saingan Muay Thai LAGA Pandan Madani 2026 yang berlangsung di Kompleks Muhibah, Ampang malam tadi.
Kejohanan seni bela diri sempena Hari Sukan Negara itu bukan sahaja dimeriahkan dengan kehadiran Rodtang, malah turut melibatkan tujuh pertarungan termasuk acara utama bagi kategori 58 kilogram (kg).
Penganjur kejohanan, Fairul Ezly Ramli menyuarakan rasa bangga kerana kejohanan itu berlangsung tanpa sebarang masalah selain menerima sambutan yang menggalakkan daripada peminat tempatan.
“Kami amat berbangga kerana kejohanan pada kali ini menampilkan kelainan yang amat ketara menerusi kehadiran bintang dunia, Rodtang selain dirasmikan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Segala penambahbaikan dari aspek teknikal dan pengurusan telah kami lakukan bagi memastikan kepuasan maksimum buat semua penonton. Bagi merakyatkan sukan ini, kemasukan juga adalah percuma,” katanya.
Acara tumpuan kategori 58kg melibatkan Faris Putra dan Wan Quyym menjadi tumpuan utama bagi merebut tali pinggang Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang turut merasmikan kejohanan tersebut.
Kelibat Rodtang pada kejohanan tersebut berjaya menyuntik semangat setiap peserta yang bertarung, lebih-lebih lagi statusnya sebagai bekas juara dunia kategori flyweight ONE Championship.
Selain pertarungan dalam gelanggang, ia turut melibatkan pelancaran ‘Sahabat Madani Selangor’ bagi menggalakkan semangat sukarela, nilai kebersamaan serta penglibatan komuniti dan golongan belia. – KOSMO! ONLINE
The post Rodtang meriahkan Muay Thai LAGA 2026 appeared first on Kosmo Online.






